Bencana alamNegeri

Tragedi kepala air: Dua anggota jalankan rondaan di kawasan SSGP

SEORANG anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang polis bantuan yang maut selepas dihanyutkan dalam tragedi kepala air di Ulu Baram pada Khamis lepas, sedang melakukan rondaan rutin di kawasan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP).

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, mangsa adalah Sarjan Simon Laja, 47, dari Batalion 12 PGA Miri dan anggota polis bantuan dikenali sebagai Sarjan Kemiang.

Simon mengetuai tiga anggota polis bantuan SSGP Kem Layun dan tiga pekerja Syarikat Samling Timber Sdn. Bhd. dalam satu rondaan di sepanjang Sungai Melana, Long Kerangan di Baram ketika kejadian berlaku pada pukul 6 petang.

“Mereka sedang berjalan dalam sungai yang cetek apabila dihanyutkan kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.

“Lima daripada mereka berjaya menyelamatkan diri kecuali Sarjan Simon dan Sarjan Kemiang yang didapati hilang selepas itu,” kata Aidi dalam kenyataan hari ini.


Aidi berkata, satu pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada tujuh anggota PGA dan 27 pekerja Samling digerakkan selepas kejadian itu.

Mayat Simon ditemukan kira-kira pukul 2 petang semalam manakala mayat Kemiang ditemukan pada pukul 2.30 petang pada jarak satu kilometer dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Kedua-dua jasad kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long Lama sebelum dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut, katanya.

Untuk rekod, Syarikat Samling Timber Sdn. Bhd. dianugerahkan kontrak oleh Petronas untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sivil di SSGP pada 28 Januari tahun lepas.

Projek SSGP adalah saluran paip gas asli sepanjang 512 kilometer dan berdiameter 91.4cm yang menghubungkan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak dan adalah sebahagian Projek Minyak dan Gas Bersepadu Sabah-Sarawak (SSIOGP). – SM

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button