NasionalNegeriPendidikan

Program Titian Kasih YTSP akan dilaksanakan semula – Raja Muda Perlis

YAYASAN Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis berhasrat untuk mengadakan kembali program motivasi Titian Kasih di sekolah-sekolah menengah seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun ini.

Program berkenaan yang telah dimulakan sejak lebih sedekad yang lalu secara fizikal terpaksa ditangguhkan sejak penularan Covid-19 dan pada tahun lalu pula dilaksanakan secara digital.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan berupa keperluan barangan Covid-19 daripada MyUS Venture Partners Sdn Bhd. melalui YTSP untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis yang diadakan di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Nellsen Young mewakili MyUS Venture Partners Sdn Bhd. menyerahkan set PPE simbolik tersebut kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Turut berangkat ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Antara peralatan kendiri yang disumbangkan adalah 3ply Ear Loop Masks, PPE Full Suit CE ISO dan MyUS Pocket Hand Sanitisers kesemuanya 200 unit untuk setiap satu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bagi membentuk modal insan kelas pertama, para pelajar perlu menguasai pengetahuan am yang merangkumi ilmu tentang negeri sendiri, isu-isu semasa, budaya dan kearifan tempatan, mengetahui bahasa asing dan juga menerapkan sikap suka membaca.

Titah Raja Muda lagi, program Titian Kasih bukan sahaja sekadar memberi ilmu pelajaran, tapi turut memberi pengalaman kepada para pelajar di Perlis dalam menimba ilmu kehidupan.

Baginda bertitah, perkara ini perlu diberikan penekanan dan dididik kepada segenap masyarakat, di mana ilmu-ilmu pengetahuan yang dikongsikan oleh para panel yang berpengalaman.

Sehubungan itu, titah Baginda maka perlulah ia disemai dalam pemikiran dan para pelajar boleh turut berkongsi dengan ahli keluarga masing-masing di rumah kelak.

Untuk rekod, Program Titian Kasih ini merangkumi pelbagai aspek contoh seperti bersukan dalam kehidupan, pengurusan bencana alam, bahaya najis dadah, pencegahan jenayah, menjaga kesihatan, merapikan sahsiah yang cemerlang, menguruskan sisa pepejal dan menetapkan masa depan dalam membuat hala tuju selepas tamat persekolahan nanti.

Kesemua topik ini wajar diberi perhatian sepenuhnya dalam melatih dan menyemai diri seseorang pelajar agar menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan nereka. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button