fbpx
Rencah Hidup

TUDM laksana penerbangan ihsan bawa bayi dari Kuching ke KL untuk dapatkan rawatan

TIGA bayi alami masalah jantung diterbangkan dari Kuching, Sarawak ke Kuala Lumpur hari ini menerusi penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mendapatkan rawatan.

Bayi berkenaan diterbangkan ke Pengkalan Udara Subang bagi membolehkan mereka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Gleneagles.

Bayi perempuan, Eliora Mia Nawan berusia 20 hari mengalami masalah jantung ‘Transposition Of Great Arteries’ akan dirawat di Hospital Gleneagles, Ampang.

Manakala dua bayi lagi iaitu Marry Anne Methew Mavrick, berusia 19 hari menghadapi masalah jantung ‘Congenital Heart Block’ dan Abang Muhammad AlFatih Abang Mohammad berusia dua bulan menghadapi masalah jantung ‘Congenital Heart Disease’ akan dirawat di IJN.

“Kesemua bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan daripada Hospital Umum Sarawak. Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No. 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.


“Pesawat telah diterbangkan oleh Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM dan dibantu oleh pembantu juruterbang, Kapten Wan Abdullah Wan Hanapi TUDM bersama dua orang ‘Loadmaster’ iaitu PW U II Amran Rashid @ Jaafar dan Sjn U Mohd Naim Kamijan.

“Serta dua orang ‘Supplementary Crew’,iaitu Kpl U Mohamad Azim bin Jamal dan Kpl U Harun Mustafa.”

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM hari ini bagi membantu tiga bayi berkenaan mendapatkan rawatan dengan segera.

Turut mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah dua orang pegawai perubatan, dua orang jururawat dan ibu kepada bayi masing-masing.

Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 7.07 malam dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 8.43 malam.

Penerbangan ihsan ini dilaksanakan oleh TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan dengan segera dan tertakluk kepada keadaan-keadaan tertentu terutama nasihat dari pegawai perubatan.

Pelaksanaan itu juga diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam menanggung kos rawatan anak-anak mereka.

“Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial.

“Malahan turut membuktikan bahawa TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada masa yang diperlukan.

“Terdahulu, pesawat A400M ini juga turut melaksanakan penerbangan ‘logistic comm‘ membawa Tim Mobilisasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peralatan perubatan daripada KKM.

“Ia juga melibatkan organisasi bukan kerajaan (NGO) daripada Academy Medicine Of Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia yang dihantar ke Sabah iaitu ke Tawau dan Kota Kinabalu,” ujarnya.

Tambah kenyataan itu lagi, seluruh warga TUDM mendoakan supaya kesemua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

Semoga usaha yang dilaksanakan oleh TUDM dengan kerjasama bersama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button