Nasional

‘Pak Long mahu yang terbaik untuk semua’

RAKYAT dijamin terus dibela dan kerisauan serta luahan mereka juga akan disampaikan kepada kerajaan ketika semua berada dalam tekanan pandemik.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Koronavirus (Covid-19) mencetuskan kebimbangan terhadap pandemik itu.

Ini termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat seperti Pemulihan (PKPP), Bersyarat (PKPB) dan Diperketatkan (PKPD).

Justeru timbul persoalan dalam kalangan rakyat mengenai nasib mereka pada masa hadapan termasuk pelbagai cabaran dianggap sebagai unprecedented.

Disusuli dengan peningkatan kes Covid-19 saban hari yang kini sedang melalui gelombang ketiga dengan jumlah lebih besar berbanding penularan awal Mac lalu.

“Saya tahu ramai netizen yang marahkan saya… saya memahami perasaan mereka.

“Insha Allah saya akan lakukan yang terbaik dengan mendengar suara mereka dan membawa suara mereka ini ke mesyuarat khas MKN (Majlis Keselamatan Negara).

“Percayalah, Pak Long mahu yang terbaik untuk semua, sebagaimana Pak Long mahu yang terbaik untuk keluarga Pak Long, begitu juga Pak Long mahu yang terbaik untuk orang ramai. Pak Long sayang semua…”

Demikian jaminan diberikan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi tulisan blognya dsismailsabri.my yang dimuat naik hari ini.

Terdahulu, dalam sidang akhbar talimat harian perkembangan PKPB, Naib Presiden UMNO itu memaklumkan PKPB di beberapa negeri seperti Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor ditamatkan.

Penamatan PKPB di negeri-negeri berkenaan diharap dapat merancakkan kembali ekonomi tempatan termasuklah pelancongan apabila rentas daerah dan negeri dibenarkan.

Namun, ia hanya terhad kepada perjalanan antara zon hijau dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan zon merah kecuali perlu melaluinya sahaja.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menasihatkan masyarakat supaya membiasakan diri bagi menjalani kehidupan dalam norma baharu.

“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara iaitu pada 23 Januari 2020 sehinggalah hari ini, kita mula menjalani kehidupan secara norma baharu.

“Walaupun pada mulanya ia agak sukar namun kini ia telah menjadi satu keterbiasaan.

“Saya pula sebagai Menteri Kanan Keselamatan, dilantik menjadi jurucakap kerajaan mengenai perkara-perkara bukan berkaitan dengan kesihatan manakala Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri (Noor) Hisham  (Abdullah) bercakap mengenai kesihatan.

“Maka setiap keputusan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai Covid-19 serta sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan saya laporkan secara harian dalam sidang media harian.

“Jadi, setiap laporan harian saya adalah berdasarkan keputusan mesyuarat yang dihadiri oleh sebahagian besar menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan.

Setiap keputusan pula adalah berdasarkan nasihat dari Kementerian Kesihatan berdasarkan penilaian risiko mereka.

“Sebagai contoh untuk isytihar PKPP dan PKPB,” ujarnya.

Justeru beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kekal tenang dan memberitahu akan terus mendengar setiap keluhan masyrakat. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button