fbpx
Politik

Darurat tangguh PRK Batu Sapi undang bahaya kepada demokrasi – Bersih

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berpendapat proklamasi darurat yang telah dicadangkan oleh Perdana Menteri bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi mungkin bukan jalan terbaik kepada amalan demokrasi di Malaysia.

Badan bukan kerajaan itu berpendirian dengan membenarkan darurat untuk menangguhkan pilihan raya akan mewujudkan satu duluan (precedent) yang berbahaya kepada demokrasi negara.

Bersih mendakwa, tindakan itu akan menyebabkan pihak yang mempunyai kuasa seperti Perdana Menteri akan cenderung untuk menangguh pilihan raya apabila terdapat situasi yang tidak menyebelahi pihak beliau.

“Selain itu, termaktub di dalam Perlembagan Persekutuan bahawa darurat hanya boleh diisytiharkan atas faktor keselamatan awam, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

“Memandangkan parlimen sedang bersidang sekarang, pihak kerajaan boleh membawa usul untuk meminda atau menggubal undang-undang baharu bagi menangguhkan pilihan raya apabila mendapat sokongan sekurang-kurangnya 2/3 ahli Dewan Rakyat,” kata Bersih dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosialnya.


NGO itu juga berkata, penangguhan pilihan raya berpandukan keputusan eksekutif semata-mata tidak sewajarnya dijadikan amalan demokrasi di Malaysia. Ini kerana negara masih mempunyai cabang legislatif sebagai salah satu cabang kerajaan.

“Di sini pentingnya cabang legislatif atau parlimen untuk terus menjalankan fungsi mereka sebagai institusi semak dan imbang kepada kerajaan.

“Selain itu, kita perlu menerima hakikat bahawa pandemik Covid-19 ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat malah mungkin akan terus ada untuk tempoh satu atau dua tahun lagi,” kata Bersih.

NGO itu turut mempersoalkan sehingga bila rakyat di Batu Sapi atau di mana-mana kawasan yang perlu diadakan pilihan raya tidak mempunyai wakil di Parlimen jika amalan darurat diteruskan dalam tempoh pandemik.

Bersih berkata, pilihan raya masih dapat dijalankan dengan selamat dan cekap walaupun negara masih bertarung untuk keluar daripada penularan Covid-19.

“Perkara ini telah dibuktikan di beberapa buah negara dalam dunia seperti Singapura, Korea Selatan, New Zealand, Perancis, Australia dan Jerman yang melaksanakan pilihan raya umum serta pilihan raya kerajaan tempatan di negara masing-masing.

“Justeru, kami yakin bahawa pilihan raya boleh dijalankan dengan syarat yang ketat,” kata Bersih dalam satu kenyataan.

Menurut Bersih, pilihan raya boleh diadakan dengan meluaskan kategori undi pos dan undi tidak hadir dan merangka mekanisme baharu bagi penjalanan pilihan raya di dalam situasi luar biasa seperti pandemik Covid-19.

“Sebagai contoh larangan kempen secara fizikal serta digantikan dengan kempen di media arus perdana, memanjangkan hari pengundian kepada tiga hari dan memperbanyakkan pusat pengundian berdekatan perumahan pengundi.

“Mengetatkan SOP semasa hari pengundian seperti pemeriksaan suhu badan, pemakaian perisai muka (face shield) untuk petugas pilihan raya, penggunaan berus untuk mencalit dakwat kekal(4), dan pensanitasian pusat pengundian.,” kata Bersih.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah, bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.-SM

 

 

 

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button