AgamaNegeriRencah Hidup

Atur gerak dakwah secara tersusun – Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar dengan peserta MIN kali pertama 2024 yang turut hadir pada program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-5 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

MENGATUR gerak dakwah secara tersusun akan menghasilkan natijah dan impak yang lebih berkesan dalam mengajak manusia kepada Islam.

Pada masa yang sama kerjasama antara organisasi-organisasi dakwah itu perlulah dieratkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 20 asnaf terpilih sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-5 bagi tahun 2024 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni dua kanak-kanak sambil diperhati Timbalan Yang Dipertua MAIPS, Dr Hazman Hassan pada program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-5 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Setiap penerima mendapat RM700 daripada MAIPs dengan jumlah penuh pada kali ini bernilai RM14,000.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ialah para peserta yang menghadiri Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) kali pertama bagi tahun 2024 yang diadakan mengambil sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berbual dengan salah seorang peserta MIN kali pertama 2024 yang turut hadir pada program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-5 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Raja Muda turut berharap agar persidangan MIN yang diadakan buat pertama kali di Perlis ini mampu mewujudkan ruang kerjasama dakwah dan juga kebajikan yang bersifat serantau.

Kepelbagaian idea dan pandangan juga akan mampu membantu mereka dalam meneruskan kerja-kerja kepada Allah SWT ini dengan lebih gigih dan cemerlang. – SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button