Rencah Hidup

Hang kuat naa Lan Pet Pet…

APA masalah hangpa, Lan Pet-Pet? Itu persoalan yang bermain di benak fikiran masyarakat yang mual dengan sikap yang ditunjukkan oleh anggota kumpulan Senario yang suatu ketika dahulu, mempunyai ramai peminat.

Keadaan Lan Pet Pet atau Mazlan mungkin sudah banyak berubah selepas nama Senario semakin ditelan zaman yang menyebabkan dia pada hari ini, masih lagi mahu mendabik dada dengan melontarkan kata-kata berbunyi, “hang tau aku sapa?”

Sekali pun orang tau hang sapa, apakah masyarakat ambil peduli dengan sikap kasar, pembengis, panas baran yang ditunjukkan oleh Lan Pet Pet?

Bukan sekali tetapi dua kali Lan Pet Pet mencipta sejarah bergaduh di khalayak gara-gara rasa amarah yang tidak terkawal di dalam hatinya.

Tidak hairanlah jika peminat menjauhkan diri daripada Lan Pet Pet disebabkan oleh karakter yang dipaparkannya itu.


Nampak gayanya, Lan Pet Pet menunjukkan belang sebenarnya yang sebelum ini, ketika bersama Senario, disembunyikannya. Umpama harimau menyimpan kuku.

Tidak mengira usia lawan, Lan Pet Pet mungkin merasakan tubuhnya kuat untuk melayangkan penumbuk atau penendang atau penyepak terhadap individu lain.

Lupa agaknya Lan Pet Pet ini bahawa dia belum lagi bertemu buku dengan ruas. Andai kata dia tersilap langkah, dia sendiri boleh jadi patah riuk dan terduduk di tepi longkang.

Tidak perlu nak menunjuk kekuatan fizikal kerana amarah yang menyelubungi hati Lan Pet Pet itu banyak dikuasai atau dibisik oleh syaitan.

Bulan Ramadan, bulan baik, bulan yang mulia tetapi Lan Pet Pet alpa dan lalai bahawa apa yang ada pada dirinya, boleh ditarik begitu sahaja.

Bukan mencari siapa betul, siapa salah tetapi sebagai individu yang pernah mencipta nama sehingga ke negara Brunei Darussalam, Lan Pet Pet sepatutnya boleh mengawal diri dan perasaan selain daripada beristigfar.

Masyarakat kita hari ini tidak perlu tampil seperti samseng. Ada masalah enggan berbincang, tiada komunikasi sebaliknya mahu menggunakan buku lima.

Kuatkah? Hebatkah penumbuk yang dilayangkan itu berbanding dengan menyelesaikan sesuatu masalah dengan berhemah?

Tidak kiralah sama ada yang mendapat penumbuk itu rakyat tempatan atau rakyat asing kerana kalau penerima tumbukan itu rakyat luar, apakah imej yang kita sebagai rakyat Malaysia paparkan?

Budaya kita mengajar kita semuakah agar bersikap samseng?  Kalau ya pun kesalahan yang dilakukan itu menjual baju ciplak, undang-undang kan ada.

Kita mengamalkan undang-undang hutan di tahun 2021? Kalau kita terus dilabel tinggal di atas pokok oleh mat-mat salleh, itu akan menimbulkan kemarahan tetapi kalau kita mengamalkan undang-undang hutan, apa bezanya di sini?

Bertenang… benda boleh bawa bincang. Kita jangan melangkawi tetapi kita menilai… – SM

(Visited 825 times, 22 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button