fbpx
MahkamahNasional

Guan Eng mengaku tidak bersalah, bayar separuh wang jaminan

Mana bukti wang tunai masuk dalam akaun, persoal Guan Eng

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini diperintah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk membayar ikat jamin bernilai RM1 juta.

Beliau dikehendaki membayar ikat jamin tersebut selepas dituduh meminta suapan berhubung pelaksanaan projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang bakal diterima oleh Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli.

Guan Eng bagaimanapun sekadar membayar RM500,000 daripada jumlah wang jaminan yang ditawarkan dan memberitahu akan membayar bakinya pada Isnin nanti.

Bekas Menteri Kewangan itu sebelum ini mengaku tidak bersalah di atas kesalahan meminta suapan 10 peratus selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

BACA > Guan Eng tiba di mahkamah tidak pakai baju oren – Suara Merdeka

Berdasarkan fakta kes, Guan Eng didakwa menggunakan kapasitinya sebagai Ketua Menteri pada waktu itu adalah sebagai upah yang bakal diterima untuk membantu syarikat milik Zarul Ahmad, dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di negeri itu..

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, pada Mac 2011.

Guan Eng dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 24, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Barisan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengah hari tadi, Guan Eng memberitahu media, beliau tidak menerima suapan tersebut.

BACA > Betty Chew, isteri Guan Eng dipanggil SPRM Georgetown – Suara Merdeka

Malah, wang tersebut juga dikatakan gagal dibuktikan oleh pihak SPRM sama ada dalam bentuk tunai ataupun masuk ke dalam akaun peribadinya.

“Tak pernah terima suapan. SPRM pun tidak pernah bertanya. Tak ada wang tunai jutaan ringgit. Di mana rasuah?

“Saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang merupakan tuduhan politik tidak berasas.

“Malah, tuduhan ini juga mencemar nama baik saya sebagai Ahli Parlimen.

“Bagaimanapun, saya akan meneruskan perjuangan untuk memastikan Malaysia bersih daripada isu-isu seperti rasuah.

“Kita lawan rasuah, tak akan menyokong rasuah dan saya akan menyerahkan kepada mahkamah untuk butikan saya memang tidak bersalah,” katanya.

BACA > SPRM dapat izin dakwa Guan Eng – Suara Merdeka

Terdahulu, Guan Eng dipanggil SPRM malam tadi dan ditahan pihak berkuasa itu di Putrajaya sebelum mendakwanya di Mahkamah Sesyen pagi tadi. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button