Nasional

Minyak masak botol, gula pasir kasar dirampas KPDNHEP

SEBUAH stor penyimpanan barangan kawalan diserbu anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka serta merampas 460 kilogram (kg) minyak masak botol dan lebih 1 tan gula pasir kasar.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, hasil serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 12.30 tengahari
semalam di Ayer Keroh mendapati stor berkenaan tidak mempunyai lesen dan disyaki dengan niat menyorok
barangan kawalan.

Menurutnya, sitaan telah dilakukan ke atas semua minyak masak botol dan gula pasir kasar yang keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM7,000 serta telah dibawa ke stor KPDNHEP di Krubong.

“Serbuan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang ramai menerusi laman sosial KPDNHEP mengenai sebuah premis menjual barangan runcit mempunyai stor penyimpanan tidak jauh dari situ.

“Hasil intipan beberapa jam kita mendapati memang betul sebuah stor penyimpanan yang tidak dilesenkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 menyimpan 460 kg minyak masak botol dan lebih daripada 1,176 gula pasir kasar.


“Pemeriksaan ke atas premis tersebut mendapati mereka mempunyai lesen yang sah dan menjual minyak masak peket mengikut peraturan yang ditetapkan tetapi stor mereka pula tidak dilesenkan,” ujarnya dalam sidang akhbar di stor penyimpanan KPDNHEP di Krubong hari ini.

Norena berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesekan.

Katanya, sabit kesalahan denda tidak melebihi RM1,000,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun jika kesalahan itu dilakukan oleh orang perseorangan manakala jika suatu pertubuhan denda tidak melebihi RM3,000,000.00 bagi kesalahan pertama atau tidak melebihi RM5,000,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada peruncit untuk tidak menyimpan barangan kawalan lebih daripada yang disyaratkan jika tidak tindakan tegas akan diambil ke atas mereka termasuk mengheret ke mahkamah.

Menurutnya, jika premis terbabit mahu menyimpan barangan kawalan dengan kadar yang besar pihak terbabit perlu memohon untuk mendapatkan permit khas kepada KPDNHEP dan bergantung luas kawasan tempat penyimpanan tersebut.

“KPDNHEP memandang serius peruncit cuba menyorok barangan kawalan terutama minyak peket yang telah diapungkan harganya. Bekalan minyak masak, beras, gula dan sebagainya di negeri sebenarnya adalah mencukupi,” ujarnya.

(Visited 38 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button