Nasionalpilihan

PM arah SPRM segerakan siasatan isu kontroversi LCS

JEMAAH Menteri hari ini menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyegerakan siasatan terhadap isu kontroversi melibatkan Littoral Combat Ship (LCS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas Mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

“Dalam masa yang sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, jemaah menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Namun, katanya, proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan jemaah menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022.

“Kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan Kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya.

Artikel berkaitan > Zahid Hamidi jawab isu pembekalan 6 kapal peronda LCS

 

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button