Nasional

Tiada aduan pekerja diberhentikan: Timbalan menteri periksalah betul-betul

TERUJA apabila baca kenyataan Timbalan Menteri, Sumber Manusia bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum ada aduan mengenai pekerja diberhentikan.

Berdasarkan kenyataan Awang Hashim itu, jelas kepada kita bahawa syarikat-syarikat di negara kita termasuk yang kecil-kecil mempunyai daya tahan tinggi berhadapan dengan masa sukar.

Daripada apa yang Awang cakap itu mungkin boleh kita simpulkan bahawa golongan pekerja di negara ini semuanya baik-baik belaka.

Semuanya tidak ada masalah. Semuanya masih dibayar gaji seperti biasa bukan sahaja sepanjang PKP tetapi sejak daripada awal wabak Covid-19 melanda.

Cuma kita berharap ketika Timbalan Menteri membuat kenyataan itu, beliau sudah melakukan homework yang secukupnya. Beliau sudah melihat kiri kanan. Sudah meninjau keadaan pengundi-pengundinya di Pendang.

Kita berharap sebelum membuat kenyataan seperti itu beliau sudah pun turun padang bersembang dengan penduduk di Paya Mak Inson, Kampung China, Cherok Kudung, Paya Kelubi, Titi Akar atau pun Padang Durian.

Ada yang bernasib dan ada yang tidak bernasib. Ada yang masih dibayar gaji walaupun sudah lebih dua minggu tidak bekerja akibat PKP, ada pula yang kini duit tabung sudah hampir kehabisan. Tidak diberhentikan kerja, tetapi ramai juga diarahkan bercuti di tanpa gaji.

Sejak wabak Covid-19 dikesan di China. Industri pelancongan terutamanya merudum. Yang Berhormat Timbalan Menteri boleh tengok di Langkawi. Bagaimana hotel-hotel kini ibarat hidup segan mati tak mahu.

Ribuan pekerja telah diarahkan bercuti tanpa gaji. Bukan sebab PKP tetapi sebab wabak Covid yang melumpuhkan industri hampir di seluruh dunia.

Anak-anak kampung yang bekerja di hotel-hotel di Langkawi disuruh ambil cuti tanpa gaji kerana sudah tidak ada pelanggan.

Ini bukan hotel yang kecil-kecil yang tidak ada nama. Hotel besar lima bintang yang terletak di Pantai Chenang, Teluk Datai, Tanjung Rhu dan Teluk Burau semuanya terjejas. Semuanya mengarahkan sekurang-kurangnya separuh daripada pekerja mereka bercuti tanpa gaji.

Cuma mereka ini tidak dibuang kerja. Sebaliknya diminta bercuti tanpa gaji. Maknanya mereka tidak ada pendapatan. Bukan sepanjang PKP ini sahaja. Ada yang sejak Januari sudah ‘bercuti’ dan terputus sumber pendapatan.

Tidak mustahil ramai yang sudah dibuang kerja kerana syarikat tidak lagi mampu menanggung kos ekoran operasi yang terhenti.

Bagi yang bergaji hari (membabitkan kebanyakan syarikat kecil di Kedah) mereka tidak perlu tunggu di buat kerja. Tidak bekerja maknanya mereka tidak ada pendapatan. Lebih kurang sama saja dengan kena buang kerja.

Ini bukannya berniat untuk menempelak timbalan menteri kerana membuat kenyataan  bahawa tiada aduan rasmi mengenai pekerja diberhentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

Cuma kita minta sepaya beliau lebih peka kepada keadaan sekeliling. Peka dengan situasi. Dan peka dengan kesan daripada setiap sesuatu yang berlaku.

Sebagai wakil rakyat beliau tentu hidup bersama dengan denyut nadi rakyat. Apa guna jadi wakil rakyat jika langsung tidak dapat menghidu sedikit pun keluh kesah rakyat.

Mereka tidak menyalahkan kerajaan dalam hal ini, kerana mereka ini sebahagian daripada putaran dalam kehidupan. Ada ketika di atas dan ada ketikanya di bawah.

Apa yang berlaku ini bukan salah sesiapa, tetapi fenomena global yang menjejaskan kehidupan semua pihak. Daripada mereka yang berjawatan besar hingga kepad golongan pekerja bawahan, petani, nelayan serta pesawah.

Daripada perniagaan besar-besar hingga ke yang kecil-kecil. Semua merasa terkena tempias. Tidak ada yang terlepas.

Cuma sebagai timbalan menteri, sebelum membuat sesuatu kenyataan periksalah betul-betul nasib golongan pekerja. Jangan hanya menunggu aduan rasmi sampai di meja baru hendak bertindak. – SM

 

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button