Ekonomi

Ekonomi negara tunjuk pertumbuhan positif dalam peralihan ke fasa endemik

EKONOMI Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan positif sejak negara beralih ke fasa endemik, seterusnya membawa banyak kelegaan kepada semua sektor, termasuk pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelancongan merupakan antara sektor penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan 2022 di Dataran Drawbridge pada Jumaat malam. Foto: FB Jabatan Perdana Menteri oleh Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia

Statistik Jabatan Imigresen menunjukkan sehingga 12 Mei, Malaysia menerima 604,457 warga asing sejak Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April, katanya.

“Sebanyak 93.8% atau 567,025 orang daripada jumlah itu adalah pelancong,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat kebangsaan 2022 di Dataran Drawbridge pada Jumaat malam.

Perdana Menteri berkata apabila pembukaan semula sempadan Malaysia diumumkan, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) telah menetapkan sasaran kira-kira dua juta pelancong asing tahun ini dengan pendapatan RM8.6 bilion.


Ismail Sabri berkata kerajaan memperuntukkan RM230 juta dalam Bajet 2022 di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan yang memberi manfaat kepada penggiat seni, budaya dan warisan dalam sektor pelancongan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto: FB Jabatan Perdana Menteri oleh Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia

“Saya pasti kita boleh bangkit semula untuk hidup aman dan harmoni dengan bekerja keras dalam meningkatkan ekonomi negara. Usaha-usahasekali gus dapat menterjemahkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran hidup sebagai keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan Terengganu mampu mencapai sasaran mencatatkan tiga juta ketibaan pelancong dalam dan luar negara tahun ini.

“Terengganu mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang unik termasuk Jambatan Angkat, dan melalui kempen Beautiful Terengganu, kita dapat melihat keindahan dan keunikan Negeri ini. Jadi, marilah kita melawat Terengganu di mana tanahnya cantik, budayanya menarik, dan penduduknya begitu mesra dan baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata rakyat Malaysia secara keseluruhannya harus bersyukur kerana mereka masih dapat menikmati keamanan dan keharmonian dalam negara yang dijayakan oleh kestabilan politik dan kerjasama daripada semua ahli Keluarga Malaysia ketika dunia berdepan risiko geopolitik yang serius.

“Konflik Russia-Ukraine dan kekejaman rejim Israel di Palestin misalnya, harus diambil sebagai pengajaran kerana jika konflik itu tidak diselesaikan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau ini dan juga ekonomi dunia.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri. Foto: FB Jabatan Perdana Menteri oleh Unit Fotografi Jabatan Penerangan Malaysia

“Inilah peri pentingnya keamanan, yang hanya boleh dikecapi dengan saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga yang kaya dengan pelbagai budaya dan kepercayaan,” katanya.

Ismail Sabri juga berkata beliau gembira melihat rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri sekali lagi tahun ini bersama ibu bapa, rakan dan saudara mara selepas tidak dapat berbuat demikian sejak dua tahun lalu.

Malah, Perdana Menteri turut menggalakkan semua orang untuk menziarahi keluarga dan rakan sepanjang bulan Syawal bagi mengeratkan silaturahim dan ukhwah, di samping terus mengamalkan kawalan diri bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Hajah Nancy Haji Shukri. – SM

 

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button