fbpx
Nasional

Duit yang hilang milik saya, ibu dan ayah, kata Syed Saddiq

DUIT yang dianggarkan berjumlah RM250,000 yang hilang dari kediaman bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan duit peribadi beliau, ayah dan ibunya.

Ahli Parlimen Muar itu hari ini tampil menjawap persoalan yang berlegar di media sosial berhubung wang yang hilang dari kediamnnya beberapa hari lalu.

Jelas Syed Saddiq, daripada jumlah tersebut RM90 ribu adalah milik beliau, RM50 ribu milik ibunya dan RM70 ribu lagi milik ayah beliau.

“Saya dan keluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Malahan kami sendiri yang membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang.

“Sekiranya benar duit itu duit haram, why should we report it?,” kata Syed Saddiq.

Menurut Syed Saddiq, sebahagian besar wang tersebut bagi tujuan renovasi rumah yang dimiliki secara bersama oleh beliau dan ibu bapanya dan sebahagiannya lagi adalah untuk tujuan kegunaan peribadi.

[BACA ARTIKEL] Wang tunai RM250,000 hilang bukan milik PPBM – Syed Saddiq

Katanya, sehingga kini beliau tidak mempunyai rumah miliknya sendiri.

“Dengan itu saya, abuyah dan mama mengambil ketetapan untuk membeli rumah bersama. Dan saya berhasrat ingin pindah ke rumah tersebut selepas siap renovasi.

“Rumah belum siap renovasi, peralatan elektronik dan perabot semua belum dibeli lagi,” jelas Syed Saddiq.

Sementara itu, Ketua Armada Bersatu itu menegaskan beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemilikan wang tersebut.

“Ini adalah fitnah untuk menjatuhkan reputasi saya dan keluarga. “Saya juga tidak akan berkompromi bab integriti dan akan memastikan diri dan keluarga saya memberi kerjasama penuh dalam membantu pihak polis dan SPRM.

“Saya ambil maklum akan laporan SPRM yang dibuat dan faham akan tugas SPRM dalam menyiasat segala tuduhan dan laporan. Saya akan berikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan SPRM,” kata Syed Saddiq.

SPRM hari ini dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah membuka Kertas Siasatan bagi menjalankan siasatan terdapat pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri.

Kertas siasatan tersebut dibuka selepas  menerima aduan berhubung pemilikan wang tunai tersebut seperti yang dilaporkan media.

[BACA ARTIKEL] SPRM laku siasatan pemilikan meragukan wang tunai bekas menteri

Dalam pada itu Ahli Perlimen Muar itu juga telah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah terhadap dirinya dan keluarga.

“Saya sudah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan kepada mereka yang memfitnah saya dan keluarga,

Dengan cubaan untuk mengaitkan kes ini dengan duit haram atau wanita yang dikatakan bersama saya,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq dalam laporan polisnya menyatakan beliau menyedari kehilangan wang tunai yang disimpan dalam peti besi dirumahnya pada pukul 7 malam 28 Mac. Beliau menganggarkan jumlah wang yang hilang adalah sebanyak RM250,000.

[BACA ARTIKEL] Syed Saddiq mahu TV3 mohon maaf, tajuk laporan jatuhkan imej,

Menurut Syed Saddiq kali terakhir beliau membuka peti besi tersebut adalah pada 13 atau 14 Mac. Jelas beliau tiada kesan sebarang umpilan pada peti besi tersebut dan keadaan dalam rumah dan biliknya adalah kemas.

Menurut beliau, kedudukan peti besi dan kod rahsia peti besi itu hanya diketahui oleh beliau dan orang-orang tertentu sahaja.

Banyak pihak yang membuat spekulasi dan andaian mengenai pemilikan sebenar wang RM250,000 yang hilang tersebut.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button