Nasional
Trending

Demam Babi Afrika: Kawalan ketat di semua pintu masuk negara

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) menjalankan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk negara terutama ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan daging dan produk khinzir bebas virus Demam Babi Afrika (ASF).

Timbalan Menterinya Sim Tze Tzin berkata pemantauan ketat itu perlu walaupun Malaysia masih bebas ASF bagi memastikan keselamatan makanan dan ASF tidak merosakkan industri tanaman atau ternakan negara sehingga menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

MAQIS juga bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di pintu masuk negara untuk mengekang kemasukan virus ASF, katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemeriksaan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas hari ini.

Sehingga kini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan larangan pengimportan ke atas babi dan produk babi dari 10 negara iaitu China, Laos, Poland, Belgium, Kemboja, Hong Kong, Myanmar, Korea Selatan, Filipina dan Indonesia.

Sim berkata pihak kementerian telah mengambil langkah mengadakan kempen kesedaran berhubung bahaya ASF sejak tahun 2018 kerana jika tidak dicegah boleh menjejaskan industri penternakan khinzir negara yang bernilai kira-kira RM5 bilion.

“Beberapa negara Asia seperti China, Vietnam, Kemboja dan yang terkini Indonesia telah dijangkiti penyakit tersebut serta menjejaskan industri berkenaan di negara terlibat sehingga mengakibatkan kerugian yang amat besar,” katanya.

Menurutnya sepanjang tahun lepas sebanyak 2,497.91 kilogram (kg) daging dan 3,232.58 kg produk babi telah dirampas di pintu masuk udara, darat dan laut, dan barang rampasan itu telah dibakar atau ditanam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Sim turut mengingatkan pelancong atau rakyat negara ini yang melancong ke luar negara bersempena musim perayaan Tahun Baharu Cina ini agar tidak membawa masuk atau balik ke Malaysia daging dan produk babi kerana dibimbangi ada virus ASF.

Katanya mengimport barang tanpa permit sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas MAQIS telah mengambil tindakan menurut Akta 728 membabitkan sebanyak 1,002 kes tangkapan dan 18 kes pendakwaan dengan nilai denda RM201,500 manakala nilai kompaun pula berjumlah RM4.030 juta dan jumlah rampasan bernilai RM116.6 juta. – BERNAMA

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button