Nasional

Dunia seni kehilangan sebutir bintang – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia awal pagi ini.

Menurut Ismail Sabri, Malaysia pemergian penerbit dan pengarah tersohor dengan nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid merupakan satu kehilangan kepada negara.

“Alfatihah. Dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid, yang meninggal dunia sekitar jam 12.30 pagi tadi.

“Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanahair dan disegani dalam dunia perfileman negara.

“Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanahair di atas kehilangan ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan ringkas.

Mamat Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham difahamkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di tangga usia 58 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

Penerbit dan pengarah hebat itu pernah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi selepas mengalami sesak nafas pada Oktober 2019.

Allahyarham cukup disegani dalam dunia perfileman tempatan dan karya-karyanya sering pecah panggung serta memberi kesan cukup hebat kepada penonton.

Antara karya hebat pengarah tersohor itu adalah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Rock, 16 Puasa dan Hantu Kak Limah.-SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button