Politik

Pendakwaan terhadap Guan Eng, naratif politik PN – Hannah

ADAKAH pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di mahkmah semalam sebahagian daripada naratif politik kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Tanggapan sedemikian muncul apabila beberapa insiden politik berlaku termasuk usaha penyingkiran Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam kerajaan negeri.

Hal demikian yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah lompat parti menyokong bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menyebabkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tumbang.

Susulan itu, Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Selain itu, muncul pelbagai dakwaan termasuk tuduhan mengatakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menerima imbuhan untuk membubarkan DUN Sabah.


BACA > Guan Eng lega isteri tidak bermalam di lokap SPRM seperti dirinya – Suara Merdeka

“Minggu lalu Warisan Sabah menjadi sasaran dalam naratif politik PN, sekarang pula DAP Pulau Pinang apabila Lim Guan Eng didakwa di mahkamah.

“Jadi kita sekarang hanya perlu bersedia untuk minggu hadapan yang tidak tahu siapa lagi akan ditahan macam ini.

“Kerajaan PN ada majoriti dalam Dewan Rakyat yang sangat slim (goyah).

“Kemudian, ada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang (Slim), jadi mereka perlukan sedikit naratif.”

Demikian kata Ahli Parlimen Segambut daripada DAP, Hannah Yeoh ketika ditemui wartawan Suara Merdeka semalam.

Beliau yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam bersama wakil rakyat dan pemimpin DAP lain turut hadir menyatakan solidariti untuk Guan Eng.

Menurutnya, penahanan Guan Eng bukanlah perkara di luar jangkaan berikutan tiga kali bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah katanya lagi, tindakan pendakwaan terhadap bekas Menteri Kewangan itu juga merupakan tindakan yang bermotifkan politik.

BACA > DAP lancar kempen derma RM10 untuk wang jaminan Guan Eng – Suara Merdeka

“Pendakwaan ini memang sudah dijangka sebab sudah tiga kali beliau dipanggil SPRM.

“Semua pemimpin DAP hadir menyatakan solidariti kita bersama Lim Guan Eng dan kita percaya ini adalah satu tindakan politik,” ujarnya.

Terdahulu, SPRM mendakwa Ahli Parlimen Bagan itu di atas pertuduhan meminta 10 peratus suapan bagi keuntungan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 16 (a)(A), Akta SPRM 2009. Jika sabit kesalahan, Guan Eng boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun.

Beliau juga boleh dikenakan denda lima kali ganda nilai suapan ataupun RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Guan Eng dihadapan Hakim Azura Alwi bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Susulan itu, hakim Mahkamah Sesyen menetapkan sebutan semula kes pada 9 September.

BACA > Guan Eng mengaku tidak bersalah, bayar separuh wang jaminan – Suara Merdeka

Beliau kemudian diperintah membayar ikat jamin sebanyak RM1 juta, namun hanya menjelaskan RM500,000 sahaja dan selebihnya akan diselesaikan pada Isnin nanti. – SM

 

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button