fbpx
Politik

Guan Eng lega isteri tidak bermalam di lokap SPRM seperti dirinya

BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa atas pertuduhan rasuah berasa lega isterinya Betty Chew tidak mengalami nasib seperti dirinya yang terpaksa bermalam di dalam lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Guan Eng berkata, hatinya berasa sangat pedih dan pilu apabila mendapat tahu isterinya telah ditahan oleh SPRM walaupun Betty tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan projek terowong Pulau Pinang atau apa-apa urusan kerajaan.

Menurut bekas menteri kewangan itu, dia bimbang jika Betty turut ditahan dan bermalam dalam lokap SPRM seperti dirinya.

Jelas Guan Eng dia terpaksa memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan tidur dia atas lantai tanpa bantal dan tilam.

Beliau secara sinis mempersoalkan mengapa menteri kewangan sebelumnya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berhadapan dengan situasi yang dialaminya iaitu bermalam di dalam lokap SPRM.


“Saya terpaksa menukar pakaian ke baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan bilik lokap yang sempit tanpa bantal mahupun tilam dan tidak bernasib baik seperti Menteri Kewangan sebelum saya yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun dalam lokap.

“Sama ada ini satu bentuk pilih kasih atau tidak, hanya SPRM yang boleh menjawabnya,” kata Guan Eng.

Guan Eng berhadapan dengan beberapa pertuduhan dan didakwa di tiga buah mahkamah pada hari yang berasingan.

Beliau telah menghadapi satu pertuduhan  di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam. Dia didakwa ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Sementara itu isterinya, Betty akan dituduh di Mahkamah Butterworth Selasa ini. Menurut Peguamnya, Betty akan dituduh mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

“Saya tidak hairan PN cuba menekan saya dengan tuduhan tidak berasas. Ini kerana kerajaan yang tidak dipilih rakyat ini perlu mengukuhkan majoriti tipis mereka di Parlimen.

“Tetapi untuk mereka menjadikan isteri saya sebagai sasaran, yang walaupun seorang peguam namun tidak pernah hidup dengan mewah, membuktikan bahawa mereka sanggup menyeksa jiwa tanpa perasaan belas kasihan,” kata Guan Eng.

Guan Eng juga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang pada Isnin ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Selain itu, Guan Eng juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah akta yang sama pada 11 Ogos bagi kes berlainan.-SM

,

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button