Politik

Ulasan – Titah YDPA menyimpulkan krisis politik Malaysia

Rujukan kepada Kenyataan Media Istana bertarikh 29.02.2020. Yang Di-Pertuan Agong (“YDPA”) telah berkenan untuk melantik Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yassin (TSMY) sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Sistem pemerintahan negara yang dibentuk atas sistem Raja Berpelembagaan (constitutional monarch) menjadi asas, membentuk dan menstruktur kuasa-kuasa YDPA selaku pemerintah negara.

YDPA telah berkenan untuk menerima perletakkan jawatan Tun Mahathir (Tun M) sebagai Perdana Menteri Ke-7 pada 24.02.2020. (Kenyataan Istana bertarikh 24.02.2020)

Pada 25.02.2020, YDPA telah berkenan bertemu 221 Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk ditemubual bagi tujuan untuk menentukan seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat YDPA mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Proses ini munasabah dan selaras dengan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

Pada 28.02.2020, YDPA telah bertitah bahawa temubual dengan Ahli-ahli Dewan Rakyat tidak dapat menentukan seorang ahli Dewan Rakyat yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Oleh itu, YDPA berkenan untuk memberi peluang dan menemui pimpinan parti-parti politik yang berkenaan dan Ahli-ahli Dewan Rakyat bebas untuk mencalonkan seorang ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. (Kenyataan Media Istana bertarikh 28.02.2020)

Pada 29.02.2020, YDPA telah berkenan menemui pimpinan parti-parti politik dan Ahli-ahli Dewan Rakyat bebas lanjutan daripada proses temubual Ahli-ahli Dewan Rakyat. Daripada representasi oleh pimpinan parti-parti politik yang berkenaan dan Ahli-ahli Dewan Rakyat bebas, YDPA dalam hematnya memutuskan TSMY sebagai ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

Sehubungan dengan itu, YDPA telah mengunapakai budi bicara mutlaknya dan berkenan melantik TSMY sebagai Perdana Menteri Ke-8 selaras dengan Perkara 40(2)(a) di baca bersama Perkara 43(2)(a) Perlembagaan.

BACA JUGA: Bisa Muhyiddin

BACA JUGA: PH tumbang kerana badi aniaya Utusan Melayu

Keputusan AGONG ini adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah keputusan daripada budi bicara mutlak YDPA. Perkara 40(3) (a) Perlembagaan dengan jelas menyatakan tiada undang-undang di peringkat Persekutuan untuk menghadkan atau menyemak fungsi YDPA yang bersifat budi bicara termasuklah penentuan ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk di lantik sebagai Perdana Menteri dan perlantikkan Perdana Menteri.

Perdana Menteri Ke-8 iaitu TSMY secara dasarnya telah dilantik oleh YDPA dan selepas istiadat mengangkat sumpah menerima perlantikkan jawatan Perdana Menteri pada esok hari, 01.03.2020, TSMY secara efektifnya memegang jawatan Perdana Menteri Ke-8 dan boleh menjalankan fungsi jawatannya.

Asas sistem perundangan negara adalah keluhuran Perlembagaan yang menjadi salah satu tunjang kepada Rukun Negara. Oleh itu, keputusan AGONG selaku pemerintah di bawah sistem Raja Berperlembagaan hendaklah dihormati dan dipatuhi demi menjamin keluruhan perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesetiaan kepada Raja dan Negara.

-SHH-
29.02.2020

(Visited 641 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button