Politik

Bisa Muhyiddin

WALAUPUN keputusan belum ada siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, tetapi apa yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup besar dan berani sepanjang karier politiknya.

Semasa di dalam UMNO dan menjawat jawatan timbalan presiden dan timbalan perdana menteri berkali-kali beliau didesak supaya ‘melanggar’ presiden.

Tetapi Muhyiddin enggan berbuat demikian dan beliau dilihat lebih banyak mengikut aliran arus dan enggan menentang bosnya.

Sebagai pemimpin nombor dua, beliau dilihat tidak pernah cuba untuk menonjolkan diri berlebihan sehingga agak mengecewakan para penyokongnya.

Lantara itu ramai yang menganggap bahawa beliau tidak mempunyai keberanian yang merupakan rencah utama untuk menjadi presiden serta perdana menteri.

Begitu juga ketika gerakan pembentukan Pakatan Harapan mata lebih tertumpu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin lain dari parti lain di dalam pakatan berkenaan.

Walaupun jawatan beliau presiden Bersatu, Muhyiddin hanya menduduki jawatan Menteri Dalam Negeri sahaja apabila pakatan berkenaan memerintah negara.

Selama 22 bulan beliau dilihat tidak menjadi ancaman kepada sebarang pergerakan untuk mengubah lanskap politik negara.

Apatah lagi ketika beliau bergelut dengan masalah kesihatan dan berada di bawah Mahathir selaku pengerusi Bersatu, ramai yang tidak meletakkan beliau di dalam senarai yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun hari ini Muhyiddin akhirnya menunjukkan taring dan ternyata ia paling berbisa hingga melumpuhkan lawannya yang tidak calang hebat.

Muhyiddin yang sebelum dijangka akan dijadikan alat untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumpaskan Mahathir kini sedang bertembung satu lawan satu dengan Anwar.

Walaupun Anwar masih enggan mengalah dan mendakwa mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan, tetapi kelebihan berada di tangan Muhyiddin.

Apabila GPS menyatakan tidak akan menyokong sebarang pakatan yang membabitkan DAP dan Warisan pula menyatakan sokongan kepada Mahathir ia semakin jelas dan pada masa yang sama Mahathir telah kembali menjadi pengerusi Bersatu setelah meletakkan jawatan Ahad lalu.

Muafakat Nasional pula lebih awal menyatakan enggan bersekongkol dengan DAP dan kini menzahirkan sokongan kepada Muhyiddin.

Muhyiddin mendapat sokongan Muafakat Nasional setelah bersetuju dengan syarat untuk menerima parti secara enbloc iaitu tanpa meninggalkan mana-mana pemimpin.

Sedangkan Mahathir meletakkan syarat hanya memilih pemimpin tertentu sahaja untuk berada di dalam kerajaan ketika merancang untuk membentuk kerajaan perpaduan iaitu sebuah kerajaan tanpa pembangkang.

Anwar masih lagi berjuang dan enggan mengaku kalah serta masih mencuba mendapat sokongan dari Sabah serta Sarawak, ketika Muhyiddin cuba menarik Amanah menyertai beliau.

Harapan masih ada untuk meleraikan kemelut politik ini sebelum melangkah ke minggu hadapan dan terpulang kepada pihak Istana untuk membuat keputusan siapa yang paling berhak untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Apa jua keputusannya setidak-tidaknya akhirnya Muhyiddin telah menunjukkan taring dan bisanya, yang sebelum ini ramai tidak yakin beliau mampu berbuat demikian.

 

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button