fbpx
Uncategorized

PAS juga tidak mahu bentuk kerajaan bersama DAP

PARTI Pas tidak akan menyertai kerajaan baru sekiranya DAP turut menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet.

Setiausaha Agung Pas, KamarulZaman Mohamad berkata, Pas mengambil pendirian sedemikian kerana  mendakwa DAP merupakan ancaman kepada keharmonian dan kestabilan negara.

“Ini berikutan tindakan-tindakan ekstrem DAP yang cukup jelas sepanjang pemerintahan PH menggugat keharmonian, kestabilan politik malah cuba bermain api perkauman serta amalan yang bercanggah dengan perlembagaan.

“PAS berharap rakyat bertenang dengan situasi yang berlaku. PAS juga memberi sepenuh kepercayaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyelesaikan perkara ini dengan bijaksana,” kata Kamarulzaman.

Menurut Kamarulzaman, dalam menghadapi  perkembangan terkini politik semasa, Pas tenang dalam mengambil sebarang tindakan berdasarkan lunas dan saluran yang dibenarkan oleh perundangan.


Sebarang tindakan Pas menurut beliau adalah demi untuk menyelamatkan negara disebabkan keadaan yang tidak stabil akibat tekanan sesetengah pihak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya menyerahkan kuasa secepat mungkin.

“PAS menegaskan sekali lagi tetap menyokong Tun Dr Mahathir terus menerajui negara sehingga PRU 15 sebagaimana mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Namun PAS tegas sekiranya berlaku pembentukan kerajaan baru, ia mesti dibuat tanpa penglibatan DAP yang merupakan ancaman kepada keharmonian dan kestabilan negara,” kata Kamarulzaman.

UMNO sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan dengan nada yang sama Pas iaitu tidak akan bekerjasama dengan DAP dan menolak kerjasama pihak yang bersekongkol dengan DAP dalam membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, dalam menghadapi apa juga situasi politik negara ketika ini, UMNO konsisten dengan prinsip dan ideologi yang menjadi asas dan pegangan parti.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button