fbpx
Politik

Anak silap titik perpuluhan tak pulak ‘uncle’ suruh letak jawatan, sindir Najib

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir penasihat DAP Lim Kit Siang yang mahu Menteri Kesihatan Dr Adham Baba meletakkan jawatan gara-gara tersilap menyebut bilangan negara sebanyak 500 buah.

Menurut Najib, ketika anak Kit Siang, Lim Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan tersilap meletakkan titik perpuluhan angka baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga menjadikan jumlah RM1.486 bilion tidak pula Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyuruh Guan Eng letak jawatan.

“Menteri kesihatan PN silap kata 500 negara (dan bukan 500 wakil negara-negara asing yang dimaksudkannya) dalam video call, Kit Siang terus ambil kesempatan untuk suruh menteri diganti.

“Dulu anak dia silap titik perpuluhan dalam kenyataan rasmi kementerian, takde pulak uncle suruh anak dia diganti. Uncle bila mahu tunai janji untuk bersara?” tanya Najib.

Pada 13 Ogos 2018 Guan Eng terpaksa meminta maaf kepada Dewan Rakyat apabila Kementerian Kewangan dalam jawapan ramsi kepada Parlimen menyatakan baki tabung bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah sebanyak RM1.486 bilion gara-gara tersalah titik perpuluhan.


Menurut Guan Eng, kesilapan angka itu dibuat oleh pegawainya yang tersalah meletakkan titik perpuluhan pada angka tersebut yang sepatutnya hanya RM148.6 juta.

“Saya ingin memohon maaf kepada dewan yang mulia dan Datuk Yang Dipertua atas kesilapan ini. Tetapi adalah lebih baik kami terus jujur dan berterus terang kepada dewan yang mulia ini daripada menyembunyikan perkara sebegini seperti kerajaan yang terdahulu.

“Sebenarnya angka baki sedia ada untuk tabung bayaran baki bukanlah RM1.486 bilion tetapi adalah RM148.6 juta sahaja. Ini merupakan kesilapan tidak sengaja daripada pegawai saya akibat salah letak titip perpuluhan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebuah portal berita melaporkan Kit Siang menyindir kesalahan Adham yang tersilap menyebut bilangan negara sebanyak 500 buah. Menurut Penasihat DAP itu kedudukan Adham sebagai menteri sepatutnya diambil alih oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Adham sebelum itu menyatakan dia tersilap sebut jumlah negara sedangkan dia bermaksud jumlah perwakilan seramai 500 orang daripada pelbagai negara dalam satu sidang video bersama dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kesilapan Dr. Adham itu diambil kesempatan oleh pejuang siber dan pemimpin pembangkang untuk menyerang dan memalukan Menteri Kesihatan itu.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button