Nasional

Covid: Kluster Teratai di Kapar meningkat 778 kes

KLUSTER Teratai yang pada mulanya membabitkan pekerja kilang di Meru, Klang, Selangor menyumbang 52 peratus atau 778 kes daripada keseluruhan 1,427 kes baharu Covid-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Dri Dr. Noor Hisham Abdullah, sejak diumumkan pada 7 November lalu sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi kluster tersebut.

Daripada jumlah itu sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif Covid-19 yang melibatkan 331 orang warganegara dan 4,725 bukan warganegara.

Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan. Kesemua kes-kes positif ini telah diasingkan.

“KKM menyambut baik pengumuman oleh YB Menteri Kanan Pertahanan bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Disember 2020 sehingga 14 Disember 2020.

“Sehingga kini, majikan yang berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada semua pekerja mereka.

“Anggota-anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan,” kata Dr. Noor Hisham.

Kluster itu menyumbang 87.3% daripada kes harian yang dilaporkan di Selangor iaitu sebanyak 891 kes menjadikan Selangor negeri tertinggi jangkitan baharu Covid-19.

Sabah negeri kedua jangkitan baharu tertinggi iaitu 267 kes diikuti Negeri Sembilan sebanyak 146 kes.

Sementara tiga kematian direkodkan di Sabah iaitu dua lelaki berusia 24 dan 51 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan seorang perempuan berusia 64 tahun di Hospital Tawau.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat 363 kes.

Keseluruhan terdapat 10,495 kes aktif di Malaysia dengan 120 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster View Kolombong dan Kluster Talang-Talang di mana kedua-duanya berlaku di Sabah.

Kluster View Kolombong melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-65698) telah dilaporkan positif COVID-19 hari ini hasil saringan individu bergejala dan sejumlah 76 individu telah disaring dengan 40 kes telah dikesan positif COVID-19.

Kluster Talang-Talang melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-55008) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 23 November hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini sejumlah 67 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19.-SM

(Visited 714 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button