EkonomiNasional

Tengku Zafrul bertemu delegasi Dewan Perdagangan Jepun-M’sia

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan pertemuan dengan delegasi Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Malaysia (Jactim) serta Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC), hari ini.

Pertemuan itu bertujuan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara dan berdaya saing untuk menyokong rantaian bekalan serantau dan global.

Beliau berkata, perjumpaan sebegini dapat memberi kemaslahatan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan negara sementelahan persekitaran global dijangka lebih mencabar pada tahun depan.

Tengku Zafrul berkata demikian menerusi catatan di laman Twitter rasmi, @tzafrul_aziz.

Sebelum ini, beliau juga bertemu dengan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berbincang serta bertukar-tukar idea tentang inisiatif yang dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa, pelaburan dan pembangunan industri yang merupakan teras Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), katanya.

“Semoga kerjasama ini dapat memacu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata, apabila kerajaan mahu merangka polisi, suara daripada pihak berkepentingan perlu didengar supaya dasar yang ditetapkan dapat memenuhi keperluan mereka.

Beliau juga telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan Miti serta beberapa agensi di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Mida berjaya mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) bersih berjumlah RM48.2 bilion pada 2021 dan RM54 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi 2022.

Mida juga meluluskan RM309.4 bilion pelaburan untuk 2021, serta RM123.3 bilion untuk separuh pertama 2022.

“Saya percaya bahawa kerjasama antara Miti dan Mida akan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya. – SM

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button