fbpx
Nasional

COVID-19: lebih 1,000 orang berjaya disembuhkan

SEHINGGA hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menyembuhkan 1,005 orang yang dijangkiti virus maut COVID-19.

Hari ini seramai 90 orang lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas selesai menjalani rawatan dan disahkan negatif COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sebanyak 179 kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan hari ini. Menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia adalah sebanyak 3,662 orang.

Pesakit di dirawat di unit rawatan rapi pula seramai  99 orang dan daripada jumlah itu 48 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Hari ini turut mencatatkan empat kes kematian dengan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 sehingga kini seramai 61 orang.


Sementara itu BERNAMA melaporkan situasi COVID-19 di negara ini menunjukkan perkembangan baik apabila jumlah keseluruhan pesakit yang berjaya pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad, melepasi 1,000 orang.

 Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 90 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah berjaya pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah 1,005 kes iaitu 27.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham meminta masyarakat supaya memberikan maklumat secara jujur sekiranya terdapat sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, membuat sejarah perjalanan ke luar negara atau pernah menghadiri perhimpunan yang berkait rapat dengan penularan jangkitan wabak itu.

Sebagai contoh, jelasnya, hasil siasatan yang dijalankan KKM terdapat satu kluster wujud daripada kes indeks positif COVID-19 dengan sejarah perjalanan ke luar negara iaitu sejarah perjalanan ke Itali (kes ke-1,580).

“Setakat ini, daripada kluster itu 37 orang disahkan positif COVID-19, dengan lima kematian (iaitu kes ke-1,031, kes ke-1,032, kes ke-1,006, kes ke-2,850 dan kes ke-2,210), serta satu kes kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Kluster ini telah melibatkan jangkitan sehingga generasi ketiga,” katanya.

Beliau berkata sememangnya terdapat risiko bagi kes COVID-19 dari luar negara diimport ke Malaysia dan mengakibatkan penularan di dalam negara.

Sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 180 negara di seluruh dunia terjejas akibat jangkitan COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata 15 daripada 4,488 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara selepas kuarantin wajib dikuat kuasa Jumaat lepas, didapati mempunyai gejala COVID-19.

Beliau berkata mereka telah diasingkan bagi menjalani ujian.

“Kalau positif kita akan masukkan ke hospital,” katanya.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button