Nasional

Prasarana catat 1 juta penumpang selepas endemik Covid-19

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan rel dan bas kendaliannya merekodkan sejuta penumpang sehari pada Selasa lalu, pertama kali selepas negara memasuki fasa peralihan endemik Covid-19.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mac, purata penumpang bagi sehari adalah 846,000 orang.

Dalam kenyataannya, Prasarana berkata, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan seramai 767,000 penumpang.

Manakala perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) merekodkan 235,000 penumpang, angka tertinggi bagi perkhidmatan bas semenjak pandemik.

“Angka sejuta penumpang sehari tersebut termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lepas,” menurut Prasarana dalam kenyataan yang sama.

Sebelum Covid-19 mula melanda negara pada awal 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari, kata syarikat itu.

Pada 16 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma bagi pengguna MRT laluan Putrajaya.

Ia termasuk bas perantara bagi MRT laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral sehingga 31 Mac ini.

“Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan dipelihara untuk manfaat orang ramai,” menurut Prasarana. – SM

Artikel berkaitan > Prasarana bakal sediakan perkhidmatan van-hailing

 

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button