Nasional

Jawi: Berita begini buat orang Melayu tolak DAP

BERITA permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Chow Yu Hui mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan penggunaan Jawi di Pahang antara sebab orang Melayu menolak DAP.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, aqsara Jawi tidak asing di dunia Melayu semenjak Islam bertapak di gugusan Kepulauan Melayu lagi.

“Berita beginilah yg membuatkan org Melayu amnya tidak menerima DAP. Aqsara Jawi sudah lumrah di sunia Melayu semenjak Islam bertapak di gugusan kepulauan Melayu lagi.

“Semua perjanjian rasmi penjajah dgn neger-negeri Tanah Melayu guna tulisan Jawi. Skrip budaya, agama dan sejarah kita,” ciap Rais di Twitternya.

Semalam media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan ADUN Trus, Yu Hui bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan.


Chow Yu Hui

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintah Yu Hui, 37, selaku plaintif untuk menjelaskan kos, masing-masing RM5,000 kepada Majlis Daerah Raub (MDR) dan kerajaan negeri Pahang, yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Zainal Azman berkata mahkamah tidak perlu campur tangan dalam polisi penggunaan tulisan jawi yang diwajibkan mulai 1 Januari lalu kerana sudah diputuskan oleh kerajaan negeri mengikut tatacara yang betul.

“Polisi ini sudah dibincangkan dan dibahaskan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang yang bersidang pada 29 Mei 2019 juga bersetuju dengan penyeragaman penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di Pahang.

“Jika mahkamah harus menyemak segala keputusan mesyuarat EXCO, maka akan berlaku banyak polisi yang hendak dibantah dibawa ke sini, walaupun dibuat dengan tatacara yang betul.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan tiada merit di peringkat ini untuk pemohon diberikan kebenaran,” katanya.

Zainal Azman juga menolak hujah Yu Hui bahawa semua arahan berkaitan penggunaan tulisan jawi itu adalah terbatal dan tidak boleh diguna pakai kerana arahan itu tidak diwartakan, memandangkan beliau mempunyai pengetahuan mengenai pelaksanaan polisi berkenaan.

Menurut Zainal Azman berdasarkan kedudukan Yu Hui selaku ADUN di Pahang, selain pusat khidmat beliau sudah menerima surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada Julai 2019 disusuli notis garis panduan penggunaan tulisan jawi daripada MDR pada Oktober 2019.-SM

(Visited 62 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button