Bola SepakSukan

United masih belum putus asa buru Sancho

MANCHESTER UNITED enggan berputus asa terhadap Jadon Sancho, meskipun Borussia Dortmund menegaskan pemain itu tidak akan ke mana-mana, musim panas ini.

Dortmund telah menolak lamaran United bagi khidmat Sancho yang diletakkan pada tanda harga 100 juta pound (RM548 juta) dengan melanjutkan kontrak bintang muda itu dan mengisytiharkan pemain tersebut akan terus kekal bersama mereka, musim depan.

Walaupun, United kecewa dengan pendirian Dortmund yang enggan berganjak daripada penilaian 100 juta pound yang diletakkan ke atas penyerang itu, Red Devils masih belum mahu berputus asa menandatangani Sancho, musim panas ini.

Kedua-dua kelab tidak sependapat berhubung tanda harga yang diletakkan ke atas Sancho yang berusia 20 tahun, dengan United hanya bersedia membayar 80 juta pound (RM438 juta) kerana percaya tawaran berkenaan berpatutan dengan situasi pasaran perpindahan semasa ekoran Covid-19.

Selain itu, terdapat juga halangan besar untuk United memenuhi terma peribadi Sancho, dengan United nekad untuk tidak mengulangi kesilapan lalu berhubung bayaran ke atas pemain yang menerima gaji tidak sepadan dengan khidmat mereka.

United masih belum boleh melupakan kesilapan menandatangani Alexis Sanchez menerusi bayaran gaji 500,000 pound (RM2.74 juta) seminggu, dengan Red Devils terpaksa membayar sekitar 10 juta pound (RM54 juta) bagi membatalkan kontrak yang masih berbaki dua tahun.

Enggan mengulangi kesilapan tersebut, United keberatan membayar Sancho sebanyak 300,000 pound (RM1.64 juta) seminggu seperti yang dituntut wakil pemain berkenaan, yang mana ia juga merupakan salah satu halangan bagi melengkapkan perjanjian itu.

Satu lagi kehampaan yang terpaksa diharungi United ialah apabila Dortmund enggan berunding dengan mereka secara terus, malah sebaliknya kelab Jerman itu menggunakan pihak perantara, Marco Lichtsteiner untuk berunding mengenai perjanjian.

United lebih selesa berunding secara terus dengan Dortmund, tetapi kewujudan perantara, ditambah dengan isu yuran dan gaji, ini bermakna sebarang perjanjian amat sukar untuk dicapai.

Sancho telah terbang bersama Dortmund ke Switzerland, semalam, untuk kem latihan pra-musim, dengan pengarah sukan, Michael Zorc mendakwa pemain itu tidak akan pergi ke mana-mana.

“Kami merancang untuk mengekalkan Jadon Sancho bersama pasukan kami musim ini, keputusan tersebut adalah muktamad. Saya rasa ia sudah cukup menjawab kesemua persoalan yang berbangkit.

“Musim panas lepas, kami telahpun menyelaraskan gaji Jadon bagi menyamai perkembangan prestasi semasanya, jadi dalam konteks itu, kami telahpun melanjutkan kontraknya sehingga 2023,” kata Zorc. – SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button