Bola SepakSukan

Batomeu, ahli lembaga pengarah Barcelona letak jawatan

PRESIDEN Barcelona, Josep Maria Bartomeu telah meletakkan jawatannya di kelab La Liga tersebut.
Bartomeu telah didesak agar melepaskan jawatannya oleh pihak pengurusan Catalan selepas beberapa kontroversi yang berlaku pada musim panas lalu, termasuk bertelagah dengan Lionel Messi sehingga menyebabkan kapten Barcelona itu hampir meninggalkan Camp Nou.

Isnin lalu, Bartomeu berkata, tiada alasan untuknya mengundurkan diri menjelang undi tidak percaya yang bakal dilaksanakan, tetapi semasa mesyuarat tergempar yang diadakan pada Selasa menyaksikan presiden berusia 57 tahun itu dan pengarah-pengarah yang lain membuat keputusan melepaskan jawatan mereka.

Sekarang peluang Messi untuk kekal di Barcelona tiba-tiba meningkat secara dramatik ekoran peletakan jawatan Bartomeu.

Presiden Barcelona itu dikritik hebat selepas Messi membuat keputusan mengejut mengemukakan permohonan untuk berpindah kepada kelab awal musim panas lepas.

Kapten Barcelona itu mendedahkan Bartomeu tidak berpegang kepada kata-katanya untuk melepaskan Messi pergi meninggalkan kelab jika dia berhasrat berbuat demikian, apabila pemain berusia 33 tahun itu cuba membuat permohonan untuk berpindah secara percuma berdasarkan klausa yang tercatat di dalam kontraknya.

“Saya ada memaklumkan kepada presiden dan beliau selalu berkata bahawa sebaik musim berakhir saya boleh membuat keputusan jika saya mahu pergi ataupun kekal bersama kelab, namun, pada pengakhirannya dia tidak menunaikan janjinya itu,” kata Messi kepada Goal, September lalu.

Bartomeu turut dikritik kerana terlibat dalam skandal I3 Ventures, yang menyaksikan ketua Barcelona, Jaume Masferrer mengetuai projek media sosial bersama kelab La Liga itu bagi merosakkan reputasi pemain seperti Gerard Pique, Messi dan isteri bintang Argentina itu.

Mengulas mengenai skandal tersebut, Pique mendakwa: “Saya mendapati kelab saya telah membelanjakan wang untuk tujuan mengkritik kami.

“Bukan hanya orang luar yang mempunyai hubungan sejarah dengan kelab menjadi sasaran, tetapi pemain yang masih aktif turut menjadi mangsa dan ini keterlaluan.

“Saya meminta penjelasan dan apa yang dia (Bartomeu) maklumkan kepada saya ialah ‘Gerard, saya tidak tahu’. Dan saya mempercayainya.

“Kemudian, selepas apa yang berlaku, anda mendapat tahu individu yang mengendalikan perkhidmatan tersebut masih bekerja di kelab.”

Walaupun menerima tekanan pada hujung minggu lalu, Bartomeu menegaskan, dia tidak akan melepaskan jawatannya itu, walaupun bakal menerima undian tidak percaya daripada ahli lembaga pengarah yang lain.

“Tiada alasan untuk saya meletakkan jawatan. Ini bukan masa sesuai untuk saya berbuat demikian. Tiada sesiapa yang boleh membuat keputusan, jika saya berundur diri.

“Idea meletakkan jawatan tidak terlintas langsung dalam fikiran saya. Tidak pernah sama sekali,” katanya dalam satu sidang akhbar.

Barcelona kini menghuni kedudukan ke-12 dalam carta La Liga, selepas ditimpa kekalahan berturut-turut, dan keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka tumpas kepada Real Madrid dalam aksi El Clasico, Sabtu lalu. – Daily Mail – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button