Sukan

Luqman mula berlatih di gimnasium selepas berehat akibat kecederaan

PENYERANG remaja negara, Luqman Hakim Shamsudin yang ditimpa kecederaan hamstring, bulan lepas, sudah mula menyertai pasukannya menjalani latihan kecergasan di gimnasium, semalam.
Menerusi perkongsian video di Facebook milik kelab yang diwakilinya, KV Kortrijk, pemain berusia 18 tahun itu sudah semakin pulih dan dijangka menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan dalam masa terdekat.
“Saya sudah mula menyertai pasukan. Tetapi buat masa ini, saya masih lagi menjalani latihan di gimnasium sebagai proses pemulihan akibat kecederaan yang saya alami.
“Saya berharap dapat kembali berlatih tidak lama lagi,” katanya menerusi rakaman video tersebut yang turut memaparkan sesi latihan kecergasan yang dijalani Luqman di gimnasium.
Setelah beberapa bulan menyertai kelab Belgium itu, keadaan fizikal Luqman sudah mula menunjukkan perubahan berbanding sewaktu di awal penyertaannya bersama KV Kortrijk.
Tubuh Luqman kini lebih tegap dan sasa, hasil kerja kerasnya di gimnasium bersama jurulatih kecergasan pasukan.
Pemain berasal dari Kelantan itu ditimpa kecederaan hamstring semasa sesi latihan bersama pasukannya, awal Oktober lalu dan perlu berehat selama tiga minggu. – SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button