Negeri

Wujudkan kumpulan berkelompok mudahkan bimbingan penjagaan kesihatan

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya dapat diwujudkan kumpulan berkelompok di negeri ini bagi memudahkan mereka yang memerlukan bimbingan dan nasihat dalam aspek penjagaan kesihatan.

Malah titah Baginda, pemeriksaan susulan juga perlu dilakukan oleh setiap pesakit sekurang-kurangnya setahun sekali bagi memastikan rekod kesihatan masing-masing sentiasa dikemaskini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bersama anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra berkenan berangkat pada majlis sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf di Masjid Jamek Beseri baru-baru ini.

“Sekaligus ia akan membantu mereka memperoleh panduan dan bimbingan yang tepat, seterusnya dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpilih sempena program Agihan MAIPs Peduli di Masjid Jamek Beseri baru-baru ini.

Ia melibatkan 70 orang dari anak kariah Jamek Beseri dan 70 lagi dari anak kariah Batu Hampar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah semasa berkenan berangkat pada majlis sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf di Masjid Jamek Beseri baru-baru ini.

Masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Baginda yang merupakan Yang DiPertua MAIPs dengan jumlah penuh sumbangan kali ini sebanyak RM98,000.

Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis, Dr. Ismuni Bohari dalam sembah maklumnya kepada Raja Muda berkata, jabatannya akan terus menjalankan segala program yang selari dengan dasar kerajaan melalui Kertas Putih Kesihatan yang menyasarkan penjagaan kesihatan melalui pemerkasaan saringan kesihatan dan rawatan awal kepada pesakit.

Katanya, antaranya termasuklah kerjasama yang terbukti berkesan antara JKN Perlis dengan pihak MAIPs bagi saringan kesihatan kepada golongan asnaf yang terpilih melalui inisiatif program MAIPs Peduli bagi tahun 2024 yang baru saja bermula tahun ini.

Menurut Dr Ismuni, konsep kerjasama pintar ini dapat merealisasikan aspirasi tonggak Kertas Putih Kesihatan dalam melahirkan negara yang sihat amnya, dan khususnya untuk rakyat Perlis melalui peralihan paradigma daripada ‘sick care’ kepada ‘health care’.

“Semoga jalinan kerjasama pintar ini dapat diteruskan dan disebarluas lagi kepada pelbagai agensi rakan strategik yang lain di negeri Perlis,” jelas beliau lagi. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button