Sukan

Hanis Nadiah Onn tunggu ‘lampu hijau’, tumpu Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM)

Pemain hoki kebangsaan, Hanis Nadiah Onn menanti dengan penuh sabar berita gembira daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bagi membolehkannya beraksi semula bersama skuad Malaysian Tigress.

Penyerang yang pernah merangkul gelaran Pemain Harapan Terbaik Asia 2016 itu meletakkan harapan yang tinggi agar dia diberi peluang kedua untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan terutama di pentas Sukan Sea Kemboja 2023 pada Mei depan.

Hanis Nadiah, 26, yang kini menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan akui dia kini sudah melupakan sepenuhnya episod hitam yang melanda dirinya sepanjang kariernya kerana fokusnya kini dalam sukan yang diminati sejak di bangku sekolah rendah itu.

Terdahulu penyerang berbakat besar itu digantung daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa termasuk temasya Sukan Sea Kemboja 2023 selepas didapati bersalah memuat naik ciapan di Twitter yang berbaur perkauman berhubung konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.

“Sejujurnya saya bagaikan tidak sabar untuk menyarung semula jersi skuad kebangsaan terutama di pentas Sukan Sea Kemboja nanti, lagipun peristiwa hitam itu sudah saya lupakan dan ia menjadi pengajaran berguna kepada saya.

“Kini tumpuan saya terarah dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) untuk membantu pasukan Negeri Sembilan merangkul kejuaraan liga selain mengintai peluang menjuarai Piala Vivian May Soars selepas berjaya muncul juara Piala Sumbangsih sebelum ini.

“Setakat ini saya belum mendapat ‘lampu hijau’ dan perkhabaran terbaharu daripada KHM berhubung perkara itu (kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan), saya terima hukuman yang dijatuhkan baru-baru ini dan saya akan buktikan jika dipanggil bersama skuad kebangsaan.

“Saya difahamkan pihak persatuan memerhati persembahan saya dalam saingan liga bersama Negeri Sembilan dan sekiranya diperlukan mereka akan memaklumkannya,” katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang tuan rumah, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) yang memihak kepada pasukannya 5-1 di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang semalam.

Ketika ditanya peluang pasukannya untuk mengekalkan kejuaraan liga, Hanis Nadiah berkeyakinan jurulatih, K Rajan mempunyai ramuan tersendiri selain pemain mampu melaksanakan impian itu terutama kini mendahului liga selepas mengumpul 14 mata hasil enam perlawanan.

“Musim lalu pasukan kami muncul juara liga buat kali pertama, jadi misi tahun ini tetap sama mahu mengekalkan kejuaraan liga selepas menjulang Piala Sumbangsih, saya berkeyakinan rakan sepasukan mampu memenuhi impian itu, tapi dengan syarat kita tidak boleh keciciran mata lagi,” katanya.

(Visited 350 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button