fbpx
Politik

‘Cah keting’ gugat akuan bersumpah (SD)?

KOMENTAR

APAKAH ‘cah keting’ akan menggagalkan parti tertentu dalam kemelut perebutan jawatan nombor satu kerajaan ketika ini, sekali gus berupaya membentuk kerajaan baharu.

Suara Merdeka sukar menjangkakan kerana politik hari ini tidak mudah dianalisis – berubah setiap jam ke jam, tidak lagi tahun ke tahun.

Akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani ahli-ahli parlimen pun boleh `diubah-ubah’, maka politik harus dibaca dari minit ke minit.

Istilah, waima apa pun mahu disebut, tabiat cah keting pernah disebut Munsyi Abdullah dalam buku catatan pelayarannya 1838.

Iaitu ketua negeri yang dipanggil sultan ketika itu ada menasihatkan rakyatnya (Kelantan) antara lain berbunyi: “Berperanglah (berlumba) kamu untuk mendapatkan sesuatu jawatan.”


Cah keting dalam dialek Kelantan itu sama maksudnya dengan hasad dengki dan cantas mencantas.

Gejala ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi bangsa lain. Cuma tindak tanduk atau perlakuannya berbeza walaupun matlamatnya sama – menjatuhkan orang lain dan orang yang dijatuhkan adalah rakan karib atau pernah memberi pelbagai bantuan.

Bagaimanapun, kerana mahukan jawatan, mereka sanggup melakukan apa sahaja seperti ‘enau dalam belukar’ berlumba melepaskan diri untuk mendapatkan cahaya matahari dan sanggup membinasakan enau lain.

Dalam konteks cah keting itu pula mereka akan berlumba-lumba melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dimahukan sehingga ada yang sanggup ‘membunuh’ masa depan rakan sendiri.

Apa yang rakyat kehendaki adalah mahu parti-parti politik hari ini memberi keutamaan kepada isu-isu “perut dan ekonomi” dalam perjuangan parti masing-masing.

Soal berbeza pendapat sememangnya dibenarkan. Malah ada baiknya dalam membentuk sebuah parti politik yang utuh. Cuma jangan kerana perbezaan pendapat ia berakhir dengan menjatuhkan orang lain.

Setiap pemimpin tidak kira eranya sentiasa mahu membawa rakyat dan negara ke kedudukan yang lebih baik lagi dan bukannya untuk merosakkan segala-gala yang telah dibina.

Malangnya ada pemimpin yang tidak lagi berada dalam era emasnya, cuba memusnahkannya dengan menikam partinya atau sesiapa dari belakang.

Bila agaknya persoalan cah keting ini akan berakhir? Sebenarnya sampai bila pun persoalan itu tidak akan selesai selagi manusia mempunyai perasaan tamak dan dahaga kuasa.

Bermuhasabah diri adalah jalan terbaik – ingat setiap perkara yang berlaku ada baiknya, mungkin tidak kepada individu, tetapi menguntungkan sekumpulan orang yang jelas lebih baik daripada kepentingan peribadi.

Parti-parti politik, apa lagi UMNO khususnya bukan lahir di tepi jalan. UMNO tidak lahir di lereng bukit tetapi lahirnya UMNO adalah di Istana Besar Johor pada 1946.

Yang menguatkan parti adalah roh perjuangan.

Sesekali ambillah teladan dari kisah malang Pak Kadok. Ayamnya menang kampung tergadai. Ada nasi dicurahkan, awak pulang kebuluran. Mudek menongkah surut, hilir menongkah pasang.

Ada isteri dibunuh, nyaris mati oleh tak makan. Masa belayar kematian angin, sudah dilabuh bayu berpuput. Ada rumah bertandang duduk.

Satira rakyat telah berpesan supaya tidak menang sorak kampung tergadai. Suatu cerita yang turun temurun sebagai peringatan kepada anak cucu. Namun setakat mana diambil iktibar dari pesanan leluhur ini?

Kejayaan yang dikecapi rakyat selama ini adalah hasil perjuangan parti teras orang Melayu yang sentiasa berusaha memastikan rakyat terus maju seiring dengan pembangunan negara.

Jadilah kapal korek yang berjasa. Bukannya mengorek kapal yang akan tenggelam dan merosakkan semuanya.

Jauhi cah keting dan menang sorak – apatah lagi dalam kemelut peralihan kepimpinan kerajaan yang tidak menentu hari ini. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button