Politik

12 menteri utus surat kepada Agong selaras keputusan parti – Hamzah

SETIAUSAHA Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan 12 menteri Kabinet mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong adalah selaras keputusan parti yang diwakili mereka kerana tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, keputusan beliau menandatangani dan menghantar surat itu adalah seperti diputuskan oleh Pas dan Bersatu.

“Keputusan parti adalah tidak mahu membuat PRU-15 dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun selalu mengatakan dirinya adalah ‘party man’ (orang kuat parti). Saya hormat cara beliau menjawab.

“Maka saya pun sebagai ‘party man’, kena dengar kepada (keputusan) parti. Apabila parti kata tidak sesuai sekarang (PRU-15), saya pun ikut sama tak sesuai (diadakan PRU-15).

“Sama juga dengan beliau (Ismail Sabri), sekiranya Presiden dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kata nak ada pilihan raya sekarang, maka beliau kena ikut,” katanya pada sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman di sini, hari ini seperti yang dipetik daripada BHOnline.

Hamzah berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) itu mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan. – SM

(Visited 547 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button