NasionalNegeri

Budak lelaki 3 tahun ditemukan lemas terjatuh dari jambatan tali air

MAYAT seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari jambatan tali air di Kampung Kebor Besar di Manir, Terengganu petang semalam, ditemukan pagi tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata, mangsa Muhammad Sufi Eijaz Mohd Sobrey ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11.34 pagi pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Pasukan mencari dan menyelamat menemukan mayat mangsa dalam keadaan terapung dan Alhamdulillah keadaan mangsa masih sempurna,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mazimi berkata, operasi pencarian mangsa sejak petang semalam melibatkan 68 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan penduduk tempatan.

Ibu mangsa, Nurul Ain Bakkeri, 33, berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat serta orang ramai kerana  jasad anaknya akhirnya berjaya ditemukan.


“Sejak mengetahui anak saya lemas petang semalam, tiada apa yang saya harapkan kecuali jasadnya ditemui kerana saya ingin sangat-sangat untuk jumpa dengan jasad anak saya itu,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, Muhammad Sufi Eijaz yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dikatakan sedang bermain di atas jambatan tersebut bersama abangnya Muhammad Syakir Wafiuddin, 8, sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam air.

Bapa mangsa Mohd Sobrey Ramli, 32, ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam berkata, beliau bersama ketiga-tiga anaknya pergi ke kawasan tali air tersebut dengan motosikal untuk bersiar-siar sebelum menghantar mereka ke kelas mengaji di kawasan berdekatan.

Namun sebaik tiba di tempat kejadian, Muhammad Sufi Eijaz dan Muhammad Syakir Wafiuddin meluru turun daripada motosikal menuju ke tali air kerana teruja melihat ramai kanak-kanak sedang mandi-manda sebelum Muhammad Syakir Wafiuddin memberitahu adiknya hilang.

Pengawal keselamatan di Politeknik Kuala Terengganu itu berkata, beliau yang ketika itu sedang menguruskan anak bongsunya, Muhammad Shafiq Arshad, 1, dengan pantas terjun ke dalam air dan cuba mencari anaknya namun usahanya gagal kerana arus di bawah sangat deras dan dalam. – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button