BeritaNasional

Pelajar UM desak kembalikan hak mereka

SEMALAM berlaku satu demonstrasi aman
membabitkan pelajar Universiti Malaya (UM) yang menuntut pihak pengurusan memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan keselesaan mereka yang didakwa diabaikan.

Demonstrasi digerakkan oleh Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) itu turut disokong beberapa lagi persatuan pelajar lain.

Dengan sebahagiannya membawa plakad mendesak pihak pengurusan mengembalikan hak pelajar, mereka mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Canselori kampus itu.

Menurut Presiden (KMUM), Mohd. Akmal Haziq Ahmad Rumaizi, demontrasi itu bagi menyerahkan memorandum mengandungi 13 tuntutan kepada Naib Canselor UM.

Antara tuntutan mereka ialah menambah kekerapan jadual pengangkutan awam, terutama bas berhenti-henti daripada tempoh sejam hingga tiga jam kepada setiap 15 minit.

Langkah itu perlu kerana katanya, kira-kira 60 peratus pelajar UM kini tinggal di luar kampus dan terpaksa membelanjakan kira-kira RM120 sebulan untuk berulang-alik dari rumah sewa.

Ketiadaan pengangkutan awam efektif menerusi sistem bas berhenti-henti oleh universiti menyebabkan pelajar terpaksa menggunakan pengangkutan alternatif termasuk e-Hailing,

KMUM yang turut disokong lebih 10 persatuan pelajar di UM, juga mahu pihak pengurusan universiti memperbaiki pelbagai kemudahan dalam kampus, termasuk laluan pejalan kaki dan kolej kediaman kerana banyak yang sudah rosak.

Beliau menyifatkan alasan diberi pihak pengurusan universiti bahawa tiada dana mencukupi sebagai tidak logik dan lapuk kerana difahamkan, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sudah meluluskan peruntukan membabitkan kenaikan RM57 juta kepada UM.

“KMUM juga mendesak pihak pengurusan UM mengurangkan kadar yuran untuk latihan industri dan kelas lanjutan, selain memansuhkan kadar sewa dikenakan terhadap persatuan pelajar untuk menggunakan pelbagai kemudahan seperti padang bola sepak serta dewan tertentu.

“Selain itu, kita mendesak Naib Canselor memberi kebebasan asasi sepenuhnya kepada mahasiswa UM selari Perlembagaan Persekutuan, dan meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekitar kampus,” katanya.

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button