Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat perlu diberi kaunseling berkaitan imunisasi Covid-19

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa
antara perkhidmatan yang boleh diberikan bagi membantu masyarakat mengelakkan salah faham mengenai ‘Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan’ ini termasuklah memberikan kaunseling ‘psikopendidikan’.

Ini amat penting bagi mengurangkan kerisauan dan ketakutan yang dihadapi segelintir masyarakat.

‘Antara info yang perlu disampaikan termasuklah pendidikan mengenai apa itu vaksin, kesannya kepada inividu dan masyarakat serta kepentingannya kepada individu, masyarakat dan negara secara umum’.

Demikian titah baginda selepas selesai berkenan menyampaikan agihan bantuan zakat sempena program ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Bilangan ke 10 bagi tahun 2021’ di Masjid Al-Hakam, Kg Kok Klang, Mata Ayer yang melibatkan seramai 25 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid tersebut menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain menyantuni tiga buah rumah asnaf lagi sempena program itu, baginda juga turut berkenan singgah meninjau dan dipersembahkan taklimat pengoperasian di dua buah kebun tanaman di Kg Paya Burma, Kok Klang yang mengusahakan pegaga oleh Suhafiza Johari dan limau kasturi oleh Samah Bakar.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Pelbagai usaha dijalankan bagi mengurangkan stigma dan pandangan buruk terhadap penerimaan suntikan vaksin ini. “Negative bias” adalah tindakan yang melibatkan pemikiran manusia yang lebih cenderung untuk memberikan penekanan atau perhatian yang lebih kepada sesuatu yang negatif berbanding sesuatu yang positif. Justeru, peranan dan tanggungjawab masyarakat dalam mendepani jaringan maklumat yang luas turut memainkan peranan yang penting bagi sama-sama membendung penularan berita palsu’.

‘Perlu diingatkan bahawa, amat penting bagi kita mendapatkan maklumat yang tepat dari sumber yang benar dan sahih sebelum dikongsi dengan orang lain’, tegas Tuanku Raja Muda Perlis.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim pula mengajak supaya ‘Bersama kita menamatkan pandemik Covid-19 di Malaysia, “Lindungi Diri, Lindungi Semua”.

Beliau turut menerangkan bahawa, ‘Bagi sesiapa yang tidak pasti mengenai imunisasi ini, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada pihak yang berkenaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara. Bagi masyarakat di Perlis secara khususnya, maklumat yang tepat boleh diperolehi dari Portal Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis serta menghubungi Bilik Gerakan di Jabatan Kesihatan Negeri atau di Pejabat Kesihatan Daerah. Selain itu, sekiranya masyarakat mempunyai kebimbangan, kerisauan yang melampau dan memerlukan bantuan khidmat kesihatan mental dan psikososial, adalah dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana klinik kesihatan di negeri Perlis.

(Visited 132 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button