Nasional

DASH dilancar tol sebulan percuma – PM

Kerajaan mengumumkan penurunan kadar tol di enam lebuh raya utama bandar bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat.

Menurutnya, lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) yang akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober ini.

Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam.

“Pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

“Ini kerajaan lakukan sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta
menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, Kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, pembukaan DASH dijangka dapat menjimatkan tempoh perjalanan kepada 30 minit pada waktu puncak dari Persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Penchala berbanding dengan laluan sedia ada yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit.

“Menerusi pembinaan Lebuhraya DASH, sejumlah 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.

“Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lepas, mampu
mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokthar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak,” katanya lagi.

Katanya, Lebuhraya DASH merupakan laluan alternatif kepada pengguna di sebelah barat, Shah Alam untuk melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, sekali gus mengurangkan kesesakan, tempoh perjalanan dan menyuraikan trafik secara lebih berkesan.

Jelasnya, pembinaan Lebuhraya DASH juga menerapkan elemen-elemen kelestarian selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Lebuhraya DASH juga memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Indeks Lebuh Raya Hijau Malaysia (MyGHI) yang merangkumi segenap rantaian nilai pembangunan infrastruktur serta mengambil kira faktor alam sekitar dengan penarafan tahap ‘Gold’.

“Penghadang bunyi kepungan penuh turut dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk sekeliling,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, pembangunan industri lebuh raya memainkan peranan besar dalam usaha membangunkan negara terutamanya daripada aspek ekonomi dan infrastruktur dengan wujudnya
kawasan-kawasan pembangunan baharu pada sepanjang jajaran lebuh raya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Lebuhraya DASH dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuh raya termasuk Puncak Alam, Elmina dan Kwasa Damansara.

Justeru katanya, kerajaan menyokong penuh usaha dan komitmen berterusan syarikat konsesi dalam merancakkan pembangunan infrastruktur negara, sekali gus membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta (Public Private Partnership atau – PPP) antara pihak PROLINTAS dan kerajaan. – SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button