Nasional

Belia akan dilantik sebagai Senator – PM Ismail Sabri

KERAJAAN bersetuju untuk melantik seorang senator dalam kalangan belia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan lebih didengari.

Ismail Sabri berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Belia Negara 2022 atau HBN 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ di Tuaran, Sabah.

Perdana Menteri berkata, dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberi peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu aktiviti-aktiviti persatuan belia.

“Untuk itu, saya umumkan tambahan peruntukan RM1 juta lagi untuk dikongsi bersama dengan pertubuhan belia,” kata Perdana Menteri.

Beliau juga memaklumkan pihaknya turut berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan betapa pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan dan pandangan anda dihargai.

Untuk rekod, Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan tahun ini amat menarik kerana ia diadakan di luar ibu kota.

HBN 2022 memilih Tuaran, Sabah yang terkenal dengan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan sebagai lokasi untuk meraikan belia-belia Keluarga Malaysia dari seluruh negara.

Kata Perdana Menteri lagi, Hari Belia Negara 2022 diadakan bagi memenuhi permintaan belia agar sambutan Hari Belia Negara diadakan di luar kesibukan kota.

Ismail Sabri turut mengingatkan Keluarga Malaysia bahawa Hari Belia Negara merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan seluruh belia yang merupakan tunjang dalam pembangunan negara serta keutuhan Keluarga Malaysia.

Oleh itu, hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan 7 juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang, katanya.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara.

“Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi Kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan.

“Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia-belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’,” jelas Perdana Menteri.

Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 9,766 pertubuhan belia telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668.

Daripada jumlah itu, 953 buah didaftarkan di Sabah dan di Tuaran sahaja terdapat 33 buah pertubuhan belia.

Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun di seluruh negara pula menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia-belia,” jelas Ismail Sabri.

Terbaharu, kata Ismail Sabri, Kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda, ujar beliau.

“Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.

“Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguhsungguh menggunakan teknologi terkini.

“Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara,” katanya. – SM

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button