fbpx
Nasional

Boleh solat Jumaat, fardu secara jemaah di Perak

SEBANYAK 40 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di Perak dan jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa kariah masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Shahrul Azam Shaari berkata, kehadiran jemaah juga terhad kepada warga tempatan sahaja.

“Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan memberi kebenaran itu selepas mempertimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak (JFNPk).

“Hanya warga tempatan sahaja dibenarkan dan setiap akan disemak dan direkod sebelum ke ruang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat berkenaan hendaklah mematuhi garis panduan dan prosedur ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Katanya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan garis panduan terkini itu dan semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau wajib menyelia serta memastikan ia dipatuhi.

Sebelum ini Terengganu mengumumkan mulai 12 Jun semua masjid di seluruh Terengganu dibenarkan solat Jumaat dan solat  fardu lima waktu secara berjemaah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Katanya, ini bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid.

“Kebenaran ini juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berdasarkan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Bilangan jemaah yang dibenarkan hadir adalah mengikut ruang keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu  meter antara ahli jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid atau yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik.

Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing dilarang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu lima waktu sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan sehingga 31 Ogos depan,” katanya.

Osman berkata jemaah perlu mematuhi SOP iaitu mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, tidak bersentuhan dan bersalaman, tidak dibenarkan berkumpul selepas solat di dalam atau  luar masjid, berwuduk terlebih dahulu di rumah dan membawa sejadah sendiri.

Beliau berkata khutbah Jumaat pula hendaklah ditumpukan pada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit manakala solat sunat tidak dibenarkan di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid, katanya. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button