fbpx
Nasional

Solat Jumaat, berjemaah lima waktu di semua masjid Terengganu mulai 12 Jun

MULAI 12 Jun semua masjid di seluruh Terengganu dibenarkan solat Jumaat dan solat  fardu lima waktu secara berjemaah.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kebenaran itu diberikan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Katanya, ini bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan, terutama solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid.

“Kebenaran ini juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan berdasarkan pandangan daripada Pengarah Kesihatan Negeri, Ketua Polis Negeri Terengganu dan Majlis Keselamatan Negeri Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan.

Bilangan jemaah yang dibenarkan hadir adalah mengikut ruang keluasan masjid dengan mengambil kira pematuhan pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan penjarakan satu  meter antara ahli jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid atau yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.


“Individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit tekak tidak dibenar hadir termasuk yang menghidap penyakit kronik.

“Kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing dilarang hadir untuk solat Jumaat dan solat fardu lima waktu sepanjang tempoh PKPP dilaksanakan sehingga 31 Ogos depan,” katanya.

Osman berkata jemaah perlu mematuhi SOP iaitu mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, tidak bersentuhan dan bersalaman, tidak dibenarkan berkumpul selepas solat di dalam atau  luar masjid, berwuduk terlebih dahulu di rumah dan membawa sejadah sendiri.

Beliau berkata khutbah Jumaat pula hendaklah ditumpukan pada rukun sahaja dengan tidak melebihi tujuh minit manakala solat sunat tidak dibenarkan di dalam masjid kecuali solat sunat Tahiyatul Masjid, katanya.

Katanya mana-mana masjid atau surau yang tidak mampu untuk  memenuhi kesemua SOP dan syarat yang ditetapkan  tidak dibenarkan untuk melaksanakan ibadat solat berkenaan.

“Baginda mengharapkan supaya semua ahli jawatankuasa masjid dan surau serta ahli jemaah memainkan peranan dalam memastikan semua arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dapat diikuti dan dipatuhi.

“Selain itu, Sultan Mizan juga mengharapkan semua rakyat terus mematuhi segala arahan pihak berkuasa dalam memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya dan negara kita benar-benar bebas daripada wabak COVID-19 dan teruskan berdoa semoga wabak ini diangkat segera oleh Allah SWT,” katanya. – SM

(Visited 5 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button