Politik

Belanjawan: Dr. M percaya ‘gula-gula’ ditawar kepada pembangkang

AHLI Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad percaya pelbagai gula-gula ditawar kepada pembangkang untuk dapat sokongan dalam Belanjawan 2021 semalam.

Ini berikutan hanya 13 ahli Parlimen pembangkang bangkit menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk melakukan undi belah bahagi dalam Belajawan semalam.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan. Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara. Segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk Kerajaan.

“Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah. Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

“Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri,” kata Dr. Mahathir.

Katanya, Belanjawan yang diluluskan tanpa tentangan semalam menjadi tanda bahawa ahli Parlimen Pembangkang telah mengiktiraf Kerajaan Pakatan Nasional.

Menurut Dr. Mahathir, alasan bahawa pembangkang akan menetang Belanjawan di peringkat jawatankuasa hanya alasan untuk mengalih kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap mereka.

“Apabila belanjawan di lulus tanpa tentangan di peringkat bacaan kali ke-2 di Dewan Rakyat, ini bermakna Kerajaan sudah pun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 ahli yang berdiri menentang.

“Menentang di peringkat jawatankuasa, seperti yang dikata akan dilakukan, tidak akan bawa apa-apa kesan signifikan ke atas Kerajaan mahupun kepada belanjawan yang dikemuka.

“Ianya hanya usaha untuk mengalih pandangan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir juga menyifatkan apa yang berlaku semalam sebagai aneh apabila hanya 13 ahli Parlimen pembangkang bangun untuk menyokong usul undi belah bahagi yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Jelasnya, selama Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ditubuhkan pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.

“Pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti Kerajaan yang sokong, tetapi sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang menyokong.

“Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

“Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, dua kurang daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” kata Dr. Mahathir.

Tegas Dr. Mahathir, beliau dan kumpulan Pejuang akan terus menolak Belanjawan 2021.

Penolakan itu kerana Pejuang tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang Belanjawan 2021 kepada negara di dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19.-SM

 

 

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button