Politik

PRN Sabah: Jangan letak calon cap parang bertanding di semua kerusi

Deposit dan kempen 73 calon berjumlah RM584,000

LOJIK akal memang tidak tercapai. Puas memikirkan bagaimanakah sebuah parti yang baharu setahun jagung ditubuhkan, boleh meletakkan 73 orang calon di kesemua 73 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Pemerhati politik tidak kira sama ada berada di negeri bawah bayu, di bumi kenyalang atau di semenanjung perlu melihat senario peletakan 73 calon oleh Parti Cinta Sabah (PCS) pada PRN sebagai suatu yang amat pelik lagi ajaib.

Sedangkan parti Warisan Plus yang baharu kurang lebih dua tahun ditubuhkan, tidak mampu untuk mengisi 73 kerusi dengan calon-calon di bawah Warisan.

Perlu ingat di sini bahawa Warisan Plus yang Presidennya ialah Ketua Menteri Sabah (status sementara buat masa ini), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, mempunyai parti-parti komponen.

Tidak perlulah disebutkan parti-parti komponen di bawah Warisan Plus kerana semua sudah mengetahuinya.
Apatah lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terbang bergaya ke Sabah naik jet peribadi, hanya diberikan tujuh kerusi untuk bertanding pada PRN Sabah pada 26 September ini.

Ramai yang mungkin tertanya-tanya, apakah matlamat atau objektif utama penubuhan PCS kerana tidak nampakpun yang parti ini mampu untuk menerajui kerajaan negeri.

Meletakkan 73 calon pada PRN Sabah mengundang tanda tanya. Apakah calon-calon cap parang yang diletakkan atau calon tangkap muat untuk isi 73 kerusi, kita tolaklah satu kerusi yang sah-sah ditandingi oleh presiden/pengasas parti itu sendiri.

Selebihnya… calon-calon yang dibariskan itu apakah mempunyai kualiti, kredibiliti, pengetahuan, pengalaman, karisma dan sebagainya untuk memimpin anak bangsa.

Menjadi calon untuk menang. Umpama orang yang menjalankan perniagaan. Buat apa berniaga kalau tidak untung? Buat apa meniaga kalau rugi memanjang. Baik tutup perniagaan, fokus buat benda lain.

Samalah halnya dengan menjadi calon, menjadi Wakil Rakyat atau Adun. Apa tuga sebenar yang perlu dipikul oleh seorang Wakil Rakyat, seorang Adun, seorang Ahli Parlimen?

Fikir dan kaji dan muhasabah diri. Kalau setakat nak mengekalkan kuasa dan kedudukan kerana ‘AKU ADALAH SEORANG AHLI POLITIK’ dan memperjudikan nasib para pengundi yang memilih atau memangkah calon yang bertanding, lebih baik tak payah bertanding.

Negeri Sabah masih tidak ketinggalan dalam arus pembangunan cuma perlu dipergiatkan lagi dan apakah bentuk pembangunan yang diperlukan oleh rakyat Sabah mengikut kawasan dan daerah.

Sama ada kerajaan terdahulu atau kerajaan Shafie Apdal yang hayatnya singkat, mereka ada agenda dan wawasan tersendiri untuk berkhidmat kepada masyarakat. Bahkan semua pun ada agenda termasuk parti-parti baharu.

GAMBAR HIASAN

Cuma terfikir pula, dari manakah PCS dapat bajet atau peruntukan politik untuk meletak 73 calon di semua kerusi dipertandingkan?

Dari manakah dapat bajet untuk seorang calon? RM5,000 deposit sebagai calon (kalau kurang 12.5 peratus undi, deposit hangus) dan lagi RM3,000 untuk berkempen selama lebih kurang dua minggu.

Deposit RM3,000 itu juga bolehlah dianggap ‘sedekah’ atau hangus jika selepas hari pengundian, dalam tempoh dua minggu juga untuk kerja-kerja pembersihan poster dan sebagainya perlu dilakukan.

Setiap calon ada diberikan peruntukan oleh presiden parti untuk membayar wang deposit berjumlah RM8,000. Kalau dihitung jumlah 73 orang calon, deposit ialah RM584,000.

Wow! Mesti parti ada bajet. Sebab lebih setengah juta diperuntukkan untuk deposit dan kempen calon. Dari manakah sumber peruntukan?

Bukan mahu memperlekehkan mana-mana pihak di sini. Tetapi agak cliché apabila dikatakan, si polan adalah merupakan seorang ahli politik yang berpegang pada prinsip.

Siapakah dalam kalangan ahli politik di Malaysia yang tidak berpegang pada prinsip? Semua pun akan mengakui, dia berpegang pada prinsip.

Berpegang pada janji? Janji boleh ‘dicapati’ dan hari ini diberi kuasa, esok luasa, jadilah cacing naik ke mata.
Bukan sahaja cacing itu menguasai diri seorang ahli politik yang menang dalam pertandingan tetapi orang di sekelilingnya juga tak ubah seperti kadok naik junjung.

Di manakah nasib rakyat yang mahu diperjuangkan kalau kuasa sudah ada di tangan? Sudah dapat merasai semula kekuasaan dan sekali gus merasakan diri sebagai ‘untouchable’.

Rakyat Sabah secara keseluruhannya, ambillah iktibar daripada apa yang pernah dinyatakan oleh Tan Sri Robert Phang.

BACA>> PRN Sabah: Parti bertanding biar beretika, pilih calon bebas skandal

Kalau benar moto atau tagline ‘Sabah is for Sabahan’, bijaklah memilih calon dan parti pada PRN nanti. Jangan terpedaya dengan klan-klan yang sudah bermaustatin dan lama ‘pegang’ politik di Sabah.

Ubah, berani berubah, dapatkan yang terbaik untuk masyarakat, komuniti dan rakyat Sabah. Bukannya memilih tanpa menyedari, anda ‘merealisasikan’ impian seseorang itu untuk kekal berkuasa dan kekal bermain politik bersama pasukannya.

Moga 1.12 juta pengundi pada PRN Sabah ke-16 diberikan hidayah, jangan terpedaya walaupun dakwah manis ahli politik yang berpegang pada prinsip, janji, katanya! – SM

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button