Politik

Musa muncul di Beaufort selepas hilang dari radar politik

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilihat kembali semula dalam radar politik selepas hilang seketika selepas penamaan calon.

Beliau dilihat hadir ke program Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah di Dataran Bagandan, Beaufort pagi ini.

Sambil memakai pelitup muka, sosok tubuhnya kelihatan memakai kemeja batik dan memegang tongkat dilihat tersenyum menunggu kehadiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil menunggu ketibaan Perdana Menteri, di kerusi tetamu kehormat, beliau disapa pengunjung yang hadir dan beramah mesra dengan mereka.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk bergambar dan merakamkan video bersamanya sambil bertanya khabar.

Musa kemudian ditegur wartawan Bernama yang bertanyakan khabar kepada beliau.

“Saya sihat Alhamdulillah. Kamu apa khabar?”

Balasnya ringkas kepada pemberita itu selepas mengesan kehadiran beliau di sana.

Terdahulu, nama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga itu tidak diumum sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Beliau dikatakan tidak menghantar permohonan menjadi calon kepada Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sedangkan sebelum itu, Musa dalam ciapan Twitternya memaklumkan beliau berhasrat untuk kembali di Sungai Manila.

Namun, beliau juga dilaporkan tidak hadir di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Libaran.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi mengatakan Musa akan dilantik sebagai Yang Dipertuan Negeri Sabah yang baharu sekiranya Parti Warisan Sabah (Warisan) tumbang dalam PRN.

Terdahulu, Musa mendakwa berjaya mendapatkan majoriti di Sabah bagi membentuk Kerajaan Negeri baharu menggantikan Warisan.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertindak membubarkan DUN pada 30 Julai lalu.

Sehubungan itu, Musa dihalang daripada menghadap Yang Dipertuan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk mengemukakan sokongan majoriti.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal dan hari mengundi bagi PRN Sabah pada 22 dan 26 September ini. – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button