Nasional

BDR: Majikan tidak boleh potong gaji, cuti pekerja

MAJIKAN diberi amaran supaya tidak membuat pengurangan gaji atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan untuk bekerja dari rumah (BDR).

Oleh demikian majikan diminta untuk mematuhi perintah seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada mac lalu.

Bermakna, pembayaran gaji, kemudahan dan faedah kepada pekerja hendaklah berjalan seperti biasa ketika arahan BDR dikeluarkan sehingga tempoh PKP Bersyarat (PKPB) tamat.

“Berhubung arahan BDR, KSM menegaskan bahawa bayaran gaji adalah seperti biasa dan majikan tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji.

“Perkara ini selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh KSM ketika PKP pada mac lalu.”

Demikian kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang dimuatnaik menerusi Twitter KSM hari ini.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengarahkan 25 peratus pekerja di Labuan, Sabah dan Selangor termasuk Lembah Klang melaksanakan BDR.

Arahan tersebut melibatkan 776,135 pekerja dalam kategori pengurusan dan penyeliaan, manakala selebihnya 2.4 juta dalam sektor operasi dibenar bekerja seperti biasa.

Dalam kenyataan sama, 10 peratus daripada jumlah tersebut dibenarkan untuk hadir ke pejabat selama empat jam, tiga hari seminggu urusan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan komunikasi teknologi maklumat (ICT).

Bagaimanapun, M. Saravanan memaklumkan majikan perlu berbincang denga pekerja untuk mengambil sebarang tindakan dan keputusan.

“Namun begitu, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa jua tindakan serta keputusan yang diambil demi kepentingan bersama.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-8886 2352 / 03-8886 2409 / 03-8888 9111,” jelasnya. – SM

 

(Visited 516 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button