Nasional

Tumpuan dalam sidang Parlimen Isnin ini

DEWAN Rakyat kembali bersidang Isnin ini dengan sebahagian menteri Kabinet bakal berdepan cabaran pertama mereka tahun ini di ‘gelanggang’ perundangan negara.

Ini selepas Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu hanya berlangsung sehari dengan titah ucapan pembukaan dewan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ia disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara yang menyebabkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijangka ‘panas’ dengan usul untuk Yang Dipertua dewan, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming mengosongkan jawatan atas alasan terdapat pencalonan lain bagi kedua-dua jawatan itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengusulkan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Azhar meletak jawatan sebagai pengerusi SPR berkuat kuasa 29 Jun lepas.

Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan penukaran tersebut.

Selain itu, tempat duduk Ahli Parlimen juga menjadi antara tumpuan ramai pada persidangan kali ini selepas kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk pemerintahan bagi melihat bilangan Ahli Parlimen mewakili kerajaan, pembangkang dan blok bebas.

Ini ditambah dengan perkembangan terbaru apabila bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima Ahli Parlimen mengumumkan untuk membentuk blok Bebas dengan Parti Warisan Sabah, tanpa bergabung dengan gabungan parti politik lain, sama ada PN atau Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada maklumat rasmi berkenaan tempat duduk mereka, termasuk di laman rasmi Parlimen, kecuali maklumat yang menyatakan bahawa kedudukan setiap Ahli Parlimen akan dijarakkan satu meter antara satu sama lain mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengikut takwim persidangan, sidang Dewan Rakyat yang berlangsung selama 25 hari akan memberi tumpuan kepada usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja serta jawapan oleh menteri terlibat selama empat minggu.

Usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja itu kebiasaanya berlangsung ketika mesyuarat pertama.

Minggu kelima hingga ketujuh majlis mesyuarat kedua ini pula akan menyaksikan pembentangan dan perbahasan rang undang-undang.

Antara rang undang-undang yang dijangka dibawa ke Parlimen ialah Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan COVID-19 yang bertujuan meminimumkan impak penularan wabak itu kepada ekonomi dan sosial rakyat serta industri.

Pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 melibatkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol juga dijangka dibentangkan di Parlimen, susulan peningkatan kes kemalangan maut pengguna jalan raya melibatkan pemandu mabuk.

Dua RUU penting berkaitan dengan kewangan dijangka turut dibawa dalam persidangan kali ini iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020.

Selain itu, usul perisytiharan pelantikan ketua pembangkang, pelantikan jawatankuasa pilihan serta pengerusi dan naib pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga merupakan antara yang bakal dibincangkan.

Kerajaan PN sebelum ini telah memutuskan polisi melantik ahli Parlimen pembangkang sebagai Pengerusi PAC dikekalkan, manakala naib pengerusi akan dilantik dalam kalangan anggota penyokong kerajaan.

Sidang dewan kedua kerajaan PN ini akan berlangsung dalam normal baharu dengan pematuhan (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19.

Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP sebelum ini memutuskan SOP iaitu pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk ahli Parlimen semasa berlangsung persidangan.

Hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenar masuk ke dewan persidangan manakala petugas media dan penjawat awam dibenarkan berada di bangunan Parlimen. – BERNAMA

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button