Nasionalpilihan

Pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Perak dijangka siap hujung 2024

PEMBINAAN Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Bandar Meru Raya di Ipoh, Perak berjalan dengan lancar dan mengikut jadual.

Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Tuan V. Sivakumar yang mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan projek melahirkan keyakinan beliau bahawa pembinaan pusat rehabilitasi tersebut akan disiapkan mengikut jangkaan dan mula beroperasi pada akhir tahun 2024.

Pagi semalam, beliau telah meninjau kerja-kerja di tapak pembinaan untuk mengetahui kemajuan projek tersebut, dengan diiringi oleh wakil-wakil dari Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Semasa di sana, Menteri telah dibawa melawat ke sekitar tapak pembinaan dan kediaman pekerja binaan (temporary labour quarters). Beliau kemudiannya diberi taklimat mengenai kemajuan projek oleh Perunding Utama Arkitek Projek Pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO dalam satu sesi taklimat di Hotel Casuarina@Meru.

Kerja-kerja pembinaan pusat rehabilitasi tersebut bermula setelah Majlis Pecah Tanah diadakan pada 11 Jun 2022. Projek kini berada pada fasa pembinaan peringkat kedua, iaitu Superstructure atau tahap 11.86% penyiapan.

Fasa pertama projek ini dibangunkan di atas tanah berkeluasan 38.47 ekar yang meliputi 11 blok dengan jumlah keluasan lantai kasar (GFA) sebanyak 929,909.22 kaki persegi.

Pembangunan pusat rehabilitasi ini disasarkan siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi akhir tahun 2024. Ia bakal menjadi sebuah Pusat Rehabilitasi Kebangsaan yang terunggul di Malaysia dan hub kepada perkhidmatan neuro-robotik terbesar bukan sahaja di rantau Asia Tenggara, malah di seluruh dunia.

Pusat rehabilitasi ini juga akan menjadi Pusat Kecemerlangan (Centre of Excellence) bagi program-program Rehabilitasi dan Return To Work PERKESO di peringkat global.

Pusat ini mampu memuatkan 700 orang pesakit pada satu-satu masa dan akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi robotik terkini seperti rawatan neuro- robotik dan Cybernics dari Jepun.

Kemudahan dan perkhidmatan yang akan disediakan oleh Pusat Rehabilitasi ini bertumpu kepada rehabilitasi perubatan dan vokasional yang holistik, berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat (whole life-cycle rehabilitation concept).

Antara perkhidmatan yang akan disediakan termasuk Neuro-robotic Rehabilitation, Advanced Virtual Rehabilitation, Intelligent Neuro-Robotic Gym & Cybernics Research Centre, Physical Rehabilitation, Pediatric Rehabilitation, Geriatric Rehabilitation, Cancer Rehabilitation, Burns Rehabilitation, Vocational Retraining & Advanced Return To Work dan juga Recreational Programme. Teknologi bantuan atau assistive technology seperti ini dapat mentransformasi rawatan rehabilitasi dengan menambah baik hasil terapi dan pemulihan pesakit serta memberi akses yang lebih luas kepada penjagaan pemulihan yang berkualiti.

YB Menteri percaya bahawa pelaksanaan projek Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO di Negeri Perak ini bakal menjana impak yang signifikan dari segi sosio-ekonomi dan pembangunan negeri dengan pewujudan banyak peluang pekerjaan, pembangunan modal insan, perkembangan medical tourism dan kemudahan kesihatan yang berkualiti demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat negeri Perak, yang selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040.

Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana projek tersebut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat khasnya Kerajaan Negeri Perak dan Pasukan Pengurusan Projek atas komitmen, kerjasama serta sokongan penuh yang diberikan bagi membolehkan pembangunan Pusat Rehabilitasi di negeri Perak ini dilaksanakan dengan jayanya mengikut perancangan.

Turut serta dalam lawatan kerja Menteri Sumber Manusia ke tapak pembinaan projek ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KSM Tuan A. Maniam, Ketua Eksekutif PERKESO Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ahli Lembaga PERKESO Yang Berbahagia Tan Sri  Mohd Annuar Zaini.

Artikel berkaitan > PERKESO dan UNIMAS jalin kerjasama tawar khidmat rehabilitasi dan pekerjaan di Sarawak

 

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button