Ekonomi

Bursa melonjak pada sesi dagangan awal

BURSA Malaysia dibuka lebih tinggi pada sesi dagangan awal pada hari Rabu (13 April), dirangsang oleh minat belian baharu. Pada 9.05 pagi, penanda aras FBM KLCI meningkat 4.41 mata kepada 1,601.54, berbanding penutupan Selasa pada 1,597.13. Indeks utama dibuka 2.49 mata lebih kukuh pada 1,599.62.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi pada 207 berbanding 103, manakala 222 kaunter tidak berubah, 1,721 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung. Sebanyak 199.14 juta jumlah dagangan dicatatkan bernilai RM70.68 juta.

Menurut satu nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia menjangkakan turun naik akan berterusan, memandangkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, sambil menambah bahawa pelabur mungkin memberi tumpuan kepada kadar inflasi yang dipercepatkan, yang mungkin mencetuskan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) yang lebih kepada manaikan kadar faedah bagi meneruskan dasar monetarinya.

Di pasaran komoditi pula, ia berkata penanda aras harga minyak mentah Brent didagangkan sekitar AS$105 (kira-kira RM444.10) setong, manakala niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) berlegar di atas RM6,100 — kedua-duanya lebih kukuh berikutan pelonggaran sekatan Covid-19 di China.

“Kami menjangkakan untuk melihat minat belian terus berputar di sekitar sektor perladangan serta minyak dan gas di tengah-tengah harga minyak mentah Brent dan FCPO yang lebih kukuh.

“Sementara itu, sektor pembinaan dan bahan binaan semakin mendapat perhatian kerana pelabur meletakkan kaunter berkaitan kerajaan dalam radar berikutan spekulasi mengenai pilihan raya awal,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, kedua-dua Malayan Banking Bhd (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd masing-masing meningkat dua sen kepada RM8.84 dan RM5.35, Public Bank Bhd menokok satu sen kepada RM4.68 dan IHH Healthcare Bhd menokok tujuh sen kepada RM6.43, manakala Petronas Chemicals Group Bhd tidak berubah pada RM10.26.

Bagi saham aktif, ATA IMS Bhd dan Vortex Consolidated Bhd meningkat 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 54.4 sen dan 21 sen, manakala CSH Alliance Bhd, Techna-X Bhd dan China Ouhua Winery Holdings Ltd menokok setengah sen setiap satu kepada 14.5 sen, 10 sen dan 8.5 sen masing-masing.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 pulih 39.26 mata kepada 11,135.79, Indeks FBM Emas naik 40.98 mata kepada 11,484.65 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 51.01 mata kepada 12,107.71, FBM 7084 meningkat 15 mata kepada 12,107.71, FBM 7084 mengukuh 18. mata kepada 5,836.69.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.50 mata kepada 213.52, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 34.71 mata kepada 16,753.69 dan Indeks Perladangan meningkat 27.53 mata kepada 8,502.87. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button