Nasional

Bayi dua bulan cedera parah digigit kera

SEORANG bayi berusia dua hulan cedera akibat digigit dan diseret oleh kera dalam kejadian yang berlaku di Kampung Manggis, Sungai Puyu, Butterworth kelmarin.

Ketika kejadian bayi itu dipercayai seorang diri di ruang tamu kerana ibunya ke dapur untuk menyediakan susu.

Wanita itu berlari untuk mendapatkan anaknya apabila mendengar tangisan kuat dan terkejut melihat bayinya berada di atas lantai dengan berlumuran darah serta ternampak seekor kera jantan di hadapan pintu rumah.

“Dalam laporan, suami wanita itu memberitahu baru pulang dari kedai dan terkejut melihat anaknya berlumuran darah dengan terdapat kesan gigitan di pipi kanan, belakang kepala dan perut sehingga nampak usus.

“Dia kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Bayi lelaki itu selamat menjalani pembedahan kecil bagi mencantumkan kulit perut yang koyak semalam dan kini perlu menerima rawatan lanjut di wad kanak-kanak selama dua minggu sebelum dibenarkan keluar,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam kenyataan.

Noorzainy memberitahu, daripada siasatan itu merupakan kes serangan pertama kera liar yang mendatangkan kecederaan kepada manusia.

Sebelum ini katanya, haiwan itu hanya mengganggu dan membuat kacau dalam dapur rumah penduduk.

Beliau berkata laporan kejadian itu dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menangkap haiwan berkenaan. – SM

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button