Nasional

Perentas negeri, bergejala dilarang sertai solat jumaat dan fardu di masjid

DITEGAH sama sekali mereka yang telah merentas sempadan ke Perlis dan golongan bergejala untuk menyertai solat jumaat dan solat fardu 5 waktu serta semua aktiviti pengimarahan masjid. Demikian keluarga yang tinggal serumah dengan mereka yang merentas sempadan dan golongan bergejala turut DILARANG.

Setiap ketua keluarga mestilah bertanggungjawab memastikan setiap ahli keluarganya yang pulang samada dengan kebenaran ataupun tidak agar mematuhi SOP kuarantin diri supaya mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain akibat situasi Covid-19 yang kian meruncing di seluruh negara.

Perkara ini termasuklah kes-kes merentas sempadan dengan kebenaran seperti urusan bekerja walaupun yang keluar masuk pada setiap hari atau hujung minggu, isu kematian, ziarah keluarga yang sakit dan sebagainya yang perlu diberikan perhatian oleh ketua keluarga agar tidak menjadi punca penularan tempatan.

Arus pertama kepulangan anak Perlis di perantauan ialah sebelum Hari Raya baru-baru ini dan arus kedua dijangka tiba apabila yang bermastautin atau belajar di Perlis pula kembali dari kampung halaman masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahan media oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menunaikan solat jumaat di Masjid Asy-Syakirin, Oran, Mata Ayer semalam.

Menurut baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, pihak
pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP. Pada masa yang sama, mereka yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti juga adalah tidak dibenarkan menghadiri sebarang aktiviti pengimarahan di masjid.

Tegas Tuanku Raja Muda, pihak MAIPs memberikan ruang kepada aktiviti pengimarahan masjid secara terhad dengan disyaratkan pematuhan ketat oleh semua jemaah dan ianya mungkin boleh terpaksa ditarik balik sekiranya tiada kerjasama dan kawalan daripada semua pihak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang mengiringi baginda menambah bahawa sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan kepada semua SOP adalah diperketatkan dengan semua jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan seperti memakai pelitup separuh muka, sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa, membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke tempat solat, tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman serta melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas Kod QR MySejahtera atau mendaftar pada buku.

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button