Jenayah

Mahdzir terkejut dakwaan Rayyan dia terima RM60 juta

BEKAS Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid terkejut dengan tuduhan Rayyan Radzwill Abdullah bahawa dia meminta 20 peratus daripada Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings).

Dakwaan itu dilemparkan oleh Rayyan Radzwill ketika menjadi saksi dalam kes melibatkan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor semalam.

Mahdzir berkata, dia terkilan dengan laporan berita kononnya telah meminta habuan sebanyak RM60 juta daripada syarikat Jepak Holdings melalui seorang bernama Mohd Fuad Yasin dan satu perjanjian bertulis telah disediakan.

“Saya terkejut dengan kenyataan saudara Rayyan tersebut. Saya telah menafikan tuduhan-tuduhan itu semasa saya dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan di Mahkamah dalam kes yang sama sebelum ini.

“Jujur saya kongsikan yang saya terkilan dengan penulisan-penulisan yang saya baca. Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejaskan dan memburukkan imej dan reputasi saya di mata rakyat. Penulisan-penulisan ini telah memberi kesan tidak elok kepada pekerjaan-pekerjaan yang diamanahkan kepada saya,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahdzir, beliau akan berhubung dengan peguam untuk mendapatkan nasihat dan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya untuk menjaga nama baik dan kepentingannya.

“Saya tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana saya tidak tahu apa dikatakan oleh saudara Rayyan di Mahkamah dan saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada Mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini,” kata Mahdzir.

Beliau turut menyarankan kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

Jelas Mahdzir, dia yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul berkenaan apa juga keterangan yang diberikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan.

“Semua pihak, termasuk saya sendiri hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului Mahkamah dalam hal ini,” kata Mahdzir.

Semalam Rayyan Radzwill berkata, bayaran yang diminta oleh Mahdzir adalah sebagai upah kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2016.

Saksi pendakwaan ke-16 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor, sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Dalam keterangannya sebelum ini, Mahdzir yang juga saksi pendakwaan kelima, menyangkal dakwaan peguam Rosmah bahawa beliau ada menerima habuan RM60 juta daripada Jepak Holdings sebagai balasan kerana membantu syarikat itu mendapatkan projek solar berkenaan.-SM

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button